Empat pemuda menyamar polis tidak berhasil


Empat pemuda menyamar polis tidak berhasil

"Tindakan licik empat sahabat menyamar sebagai anggota polis ketika melakukan aktiviti samun akhirnya dipatahkan"


GEORGE TOWN – Tindakan licik empat sahabat menyamar sebagai anggota polis ketika melakukan aktiviti samun di Kompleks Bukit Gedung, Bayan Baru di sini Rabu lalu akhirnya tersungkur.

Kesemua suspek berusia antara 20 hingga 30 tahun itu diberkas sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya selepas menerima laporan daripada seorang pengadu kira-kira pukul 2.12 petang.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, penahanan ke atas empat suspek terbabit dilakukan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan samun wang dan telefon bimbit milik mangsa semasa berada di Kompleks Bukit Gedung kira-kira pukul 4.30 pagi Rabu lalu.

“Dalam kejadian itu, suspek dikatakan bertindak menyamar sebagai anggota polis lalu menyamun satu telefon bimbit jenis Samsung dan wang tunai RM60 milik pengadu di lokasi kejadian.

“Ketika itu, dua rakan pengadu yang turut berada ditempat kejadian juga disamun wang tunai bernilai RM90 dan RM20 sebelum suspek melarikan diri menaiki motosikal jenis dan nombor pendaftaran yang tidak pasti.

“Susulan laporan yang dibuat, polis berjaya menahan suspek di sekitar Bayan Baru dan di Kampung Baru, Ayer Itam di sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamarul memberitahu lagi, hasil siasatan lanjut mendapati kesemua suspek tersebut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Suspek kini ditahan reman 30 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan termasuk mengenalpasti sama ada terlibat dengan kes-kes jenayah lain,” tambahnya.

@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE