Harta Muhd Sajat disita,dilelong
"Barang-barang yang disita akan dilelong di bawah harga pasaran untuk menebus pampasan yang perlu dibayar kepada pihak plaintif."
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membenarkan harta usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, disita susulan kegagalan membayar pampasan kepada bekas stokis utama, OWA Resources.
Peguam utama OWA Resources, Nurul Hafidzah Hassan, berkata permohonan OWA Resources Sdn Bhd menuntut pampasan RM200,000 yang gagal dibayar Muhammad Sajjad melalui proses penyitaan dibenarkan mahkamah dan dilaksanakan pagi tadi.
"Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan pelaksanaan writ penyitaan dan penjualan dijalankan jam 10.30 pagi tadi di rumah Muhammad Sajjad beralamat di Kota Damansara.
"Keputusan dibuat selepas mahkamah mendapati Muhammad Sajjad tidak memberi sebarang maklum balas untuk membayar pampasan.
"Ia selepas Muhammad Sajjad gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada April lalu bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memerintahkan beliau membayar ganti rugi kepada OWA Resources," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, anak guamnya, Nurwati Hussin, 41 dan Mohamed Syakir Hussin, 32 dari OWA Resources yang juga bekas stokis utama perniagaan bengkung milik Muhammad Sajjad atau dikenal sebagai Sajat, mengambil tindakan menyita susulan kegagalan usahawan itu membayar jumlah penghakiman pada Disember tahun lalu.
Nurul Hafidzah berkata, anak guam fokus untuk mendapatkan pampasan yang diarah dibayar oleh mahkamah.
"Barang-barang yang disita akan dilelong di bawah harga pasaran untuk menebus pampasan yang perlu dibayar kepada pihak plaintif.
"Writ penyitaan dan penjualan sudah ditampal di premis defendan hari ini dan jika pihak defendan tidak membuat bayaran, semua barang yang disita akan dilelong pada 14 Disember ini.
"Sekiranya jumlah pungutan wang hasil dari lelongan masih tidak mencukupi melalui penjualan barang yang disita hari ini, anak-anak guam akan mengambil langkah seterusnya bagi menyita aset-aset lain yang boleh disita dan dijual," katanya.
@liputan7official