Empat individu bunuh ejen insurans didakwa


Empat individu bunuh ejen insurans didakwa


SEREMBAN - Tiga lelaki dan seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan membunuh seorang ejen insurans antara bulan lepas hingga awal bulan ini.


Tertuduh S Jeeva, 51; M Bereamalah, 39; M Raja, 35 dan P Yogan Pillay, 35 mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin.


Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh.


Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh bersama-sama telah menyebabkan kematian ke atas P Rajasegar, 52.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara 12 November lepas kira-kira jam 10.30 pagi sehingga 2 Disember lalu kira-kira jam 4.45 petang di sebuah syarikat insurans di Seremban.


Oleh yang demikian tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama memperuntukkan hukuman mati atau dengan penjara selama 30 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati dikenakan sebat.


Majistret kemudian menetapkan 26 Januari tahun hadapan untuk sebutan semula kes.


Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd Azman manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Datuk Abu Bakar Isa Ramat.


@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE