Jihan Musa didakwa


Jihan Musa didakwa

"Mahkamah menetapkan jumlah ikat jamin RM8,000 dan hakim menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan bermula Januari 2022 sehingga kes selesai serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah."


KUANTAN – Seorang ketua cawangan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Pahang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini atas tuduhan menyalahguna kuasa bagi kepentingan diri.

Bagaimanapun tertuduh, Nor Jihan Musa, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Menurut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan dua kesalahan menyalahguna kuasa di pejabat agensi berkenaan pada Disember 2020 dan Mac tahun lalu.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 30 Disember 2020 dengan menggunakan jawatan sebagai ketua cawangan untuk mendapatkan suapan dengan meluluskan permohonan ubah syarat lesen pengendali atau permit kenderaan barangan syarikat miliknya sendiri.

Dalam pertuduhan kedua pula, tertuduh pada 31 Mac 2021 didakwa menggunakan jawatan sebagai ketua cawangan bagi mendapatkan suapan dengan meluluskan permohonan melesenkan kenderaan mengikut surat tawaran kepada syarikat miliknya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan kesalahan itu.

Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nadzirah Zahari manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Zaharman Zainal Abidin.

Mahkamah menetapkan jumlah ikat jamin RM8,000 dan hakim menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan bermula Januari 2022 sehingga kes selesai serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 28 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE