Bazar Ramadan dibenarkan beroperasi


Bazar Ramadan dibenarkan beroperasi

“Bagaimanapun, kebenaran ini bergantung kepada situasi semasa Covid-19 dan arahan terkini dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan penularan varian Omicron,” katanya



KUALA TERENGGANU – Bazar Ramadan di Terengganu dibenarkan beroperasi pada tahun ini mengikut peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengelak berlakunya jangkitan Covid-19.


Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang melakukan persiapan mengeluarkan permit kebenaran jualan kepada peniaga.


“Setakat ini bazar Ramadan masih dibenarkan beroperasi dan PBT sudah mengenalpasti lokasi serta jumlah tapak jualan pada tahun ini.


“Bagaimanapun, kebenaran ini bergantung kepada situasi semasa Covid-19 dan arahan terkini dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan penularan varian Omicron,” katanya di sini pada Khamis.


Sementara itu, Dr Alias turut menggalakkan orang ramai mengambil dos penggalak dan membenarkan anak mereka berusia lima hingga 11 tahun diberi suntikan vaksin bagi melindungi daripada mortaliti dan morbiditi akibat jangkitan Covid-19.


Beliau berkata, usaha itu juga penting sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Mei nanti.


“Hanya 12 peratus atau 21,901 orang dari 124,206 kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun yang layak menerima vaksin Covid-19 negeri ini sudah mendaftar melalui MySejahtera bagi mendapatkan suntikan vaksin, jumlah ini masih rendah,” katanya.


Jelas Dr Alias, dengan kenaikan kes mendadak setiap hari berikutan kewujudan gelombang Omicron sekarang, kanak-kanak merupakan golongan rentan yang paling terdedah kepada jangkitan Covid-19 kerana belum mendapat vaksin.


Sehubungan itu, beliau berharap ibu bapa dapat mengambil peluang menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) yang dianjurkan kerajaan demi kesejahteraan kesihatan anak masing-masing.


“Jangan kita mengambil mudah tentang perkara ini, apatah lagi dalam beberapa bulan lagi kita akan menyambut Ramadan dan Hari Raya, jadi pastikan anak-anak kita juga mempunyai pelindung daripada jangkitan Covid-19,” katanya.


@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE