Pengemis semakin berani, cetus rasa gelisah warga kota

Pengemis semakin berani, cetus rasa gelisah warga kota

"Mereka datang ketika kita sedang makan di restoran dan ada antara mereka yang tidak akan beredar sehingga menerima wang. Kegiatan ini seolah-olah satu ‘pattern’ baharu, sedangkan kita tidak pernah terapkan perkara sebegini dalam masyarakat."


KUALA LUMPUR
- Sikap kalangan pengemis semakin berani dan adakalanya bertindak agresif menimbulkan kebimbangan umum, apatah lagi kini semakin ramai dilihat berkeliaran di jalanan khususnya di sekitar ibu kota.

Walaupun akur pandemik Covid-19 mungkin menyebabkan ramai yang ditimpa kesusahan ekoran desakan ekonomi, namun timbul persoalan mengapa aktiviti mengemis yang kebanyakannya dimonopoli warga asing dibiarkan berleluasa sehingga menyebabkan ketidakselesaan dan menggugat keharmonian setempat.


Berkongsi pandangan, pembantu peribadi di sebuah syarikat swasta, Vimala Arumugam, 44, berpendapat pengemis kini dilihat mempunyai cara baharu, apabila mula menggunakan elemen desakan dan paksaan ketika mendekati ‘sasaran’ sehingga menimbulkan rasa tidak selesa.


"Mereka datang ketika kita sedang makan di restoran dan ada antara mereka yang tidak akan beredar sehingga menerima wang. Kegiatan ini seolah-olah satu ‘pattern’ baharu, sedangkan kita tidak pernah terapkan perkara sebegini dalam masyarakat.


"Tambahan sekarang dengan Covid-19 dan kes pun semakin naik. Kita bimbang keselamatan semua pihak kerana kita tidak tahu dengan siapa mereka (pengemis) berjumpa. Jadi risiko itu ada, dan bahaya," katanya.


Petugas syarikat perundingan tempatan di Ampang, Mohd Fadli Adamsah, 36, pula mengaku cubaan beliau untuk menghulurkan bantuan berbentuk makanan pernah ditolak oleh pengemis yang sebaliknya mendesak beliau memberi bantuan wang tunai.


"Mereka seolah-olah diberi arahan untuk paksa dan menakutkan orang awam untuk mendapatkan duit. Ada juga yang sanggup menarik baju, tangan, bahkan mengugut orang awam,” katanya yang yakin kegiatan itu didalangi sindiket.


Seorang peniaga kedai minuman di sekitar perkarangan Kompleks Sogo, Yong K.H, 77, pula mengakui kedainya sering dikunjungi pengemis warga asing sehinggakan adakalanya jumlah pengemis melebihi jumlah pelanggan.


"Mereka datang tak tentu masa, tapi kebiasaannya antara pukul 1 petang hingga 3 petang khususnya pada hari Ahad ketika ramai orang beriadah pada hujung minggu. Kalau ada ramai orang, maka itulah lokasi tumpuan, lubuk rezeki bagi mereka," katanya.


Beliau yang sudah menetap di ibu negara sejak 1966 turut berkongsi pengalaman mengenai kegiatan pengemis kota yang dilihat meningkat dengan begitu ketara dan semakin keruh apabila aktiviti itu didominasi oleh warga asing.

"Pada zaman 1970-an mengemis ini selalunya dilakukan oleh warga tempatan, tetapi sekarang sudah menjadi sebaliknya. Sekarang kita sendiri sudah susah untuk membezakan pengemis asing dan tempatan kerana mereka (warga asing) memakai pakaian yang sama, bahkan adakalanya lebih bergaya," katanya.

Pemilik restoran masakan Melayu, Muhammad Abu Bakar, 65, pula menganggap pengemis yang mengunjungi restorannya sebagai satu rezeki selain memang beliau berniat memberi mereka makan.

"Mereka berlegar-legar di kawasan awam, itu adalah antara mereka dan pihak berkuasa, tetapi antara mereka dengan saya, saya perlu bantu kerana mereka golongan yang memerlukan," katanya yang sudah lima tahun berniaga di Taman Putra Sulaiman, Ampang.

Pengalaman dengan pengemis jalanan juga banyak dikongsi netizen di ruangan maya masing-masing, antaranya pengguna Twitter, yang mempersoalkan sistem perundangan negara yang sedia ada.

"Saya pernah mengalaminya sebelum ini, kita okey je kalau dia minta secara baik, tapi ini siap paksa jerkah kita balik, ada tu ketuk tingkap kereta minta jumlah (wang) tertentu. Ada ke akta, atau sebarang tindakan yang wajar untuk perkara macam ni?" soalnya.

Selain itu, pula membuat ciapan berbunyi: "Kebanyakannya area KL yang selalu jadi lubuk. Mereka pantang kalau kita pegang benda yang dijual, macam tisu ke, surah surah al-Quran, tasbih ke, dia akan anggap kita nak beli terus, haih," luahnya pada bebenang di Twitter.


Tidak kurang yang meluahkan rasa risau tentang keselamatan anak-anak pengemis termasuk yang berharap agar pergerakan mereka serta penjaga dipantau oleh pihak bertanggungjawab.


"Pihak berkuasa perlu pantau pergerakan kanak-kanak ini supaya boleh kesan penjaga mereka, penjaga mereka bertanggungjawab atas kelakuan dan apa yang terjadi dekat kanak-kanak ni," kongsinya. - Bernama


@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE