Pesakit mental didakwa cederakan empat polis

Pesakit mental didakwa cederakan empat polis berdepan hukuman penjara 10 tahun dan sebat 

TUMPAT - Seorang pesakit mental dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan mencederakan empat polis dengan menggunakan pisau pada Sabtu lepas.

Tertuduh, Mohamad Azizi Seman, 42, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Kamarul Hasyimie Rosli.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Inspektor Chong Yeong Ren, Inspektor Mohd Afifi Jamaludin, Koperal Mohamad Firdaus Mohd Jamil dan Lans Koperal Muhammad Anuar Saidi Azmi dengan menggunakan pisau sepanjang 18 sentimeter di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Sedar di sini pada jam 9 malam, 12 Februari lalu.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Sharil Ramli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Sebelum itu, Muhammad Sharil memohon tertuduh yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental itu dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan psikiatri dan tidak mencadangkan jaminan terhadap tertuduh.


Mahkamah menetapkan 17 Mac depan untuk sebutan semula kes.


Sinar Harian sebelum ini melaporkan empat polis yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat cedera di kepala dan beberapa anggota badan selepas dilibas dan ditetak oleh seorang lelaki mental yang mengamuk serta dipercayai di bawah pengaruh dadah.


Pergelutan ketika menahan suspek itu menyebabkan keempat-empat anggota yang berusia 30-an menerima beberapa jahitan akibat luka yang dialami.


@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE