Sebat PATI yang ulang kesalahan ceroboh Negara - Polis


Sebat PATI yang ulang kesalahan ceroboh Negara - Polis


"Kami sama sekali tidak akan berkompromi berkait isu PATI kerana ia boleh memberikan kesan kepada keselamatan negara," katanya


PASIR MAS - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan kepada pihak kerajaan mengenakan hukuman sebat kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melakukan kesalahan berulang dengan masuk ke negara ini menggunakan pangkalan haram tanpa permit sah.


Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Hazani Ghazali berkata, pendekatan itu merupakan salah satu bentuk pengajaran kepada PATI supaya tidak lagi berbuat demikian pada masa akan datang.


"Kami sama sekali tidak akan berkompromi berkait isu PATI kerana ia boleh memberikan kesan kepada keselamatan negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Tangan Bersalaman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini, pada Rabu.


Pada majlis tersebut Hazani turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga angkat IPD Pasir Mas.


Hadir sama Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun dan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir.


Menurutnya, selain PATI, warga tempatan yang menjadi dalang termasuklah tekong darat turut diburu PDRM ketika ini.


Beliau berkata, kawasan rumah penduduk yang mempunyai pangkalan di sepanjang sempadan negara ini turut disenaraikan sebagai pangkalan haram.


"Kalau pemilik terlibat secara langsung, kita akan kategorikan mereka sebagai tekong," katanya.




@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE