Isteri tetak suami curang dengan pisau pemotong daging


Isteri tetak suami curang dengan pisau pemotong daging


"Seorang suri rumah yang naik angin bertindak me­netak suaminya sendiri menggunakan pisau pemotong daging selepas mengesyaki lelaki itu mempu­nyai hubungan dengan wanita lain dalam kejadian di sebuah rumah sewa "


Seorang suri rumah yang naik angin bertindak me­netak suaminya sendiri menggunakan pisau pemotong daging selepas mengesyaki lelaki itu mempu­nyai hubungan dengan wanita lain dalam kejadian di sebuah rumah sewa di Jalan Amoy di sini kelmarin.


Kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu menyebabkan mangsa yang berusia 28 tahun terpaksa menjalani pembedahan kecil pada tangan kiri selain mengalami kecederaan pada lutut.


Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jo­nathan Ringgit berkata, sebelum kejadian berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dengan isterinya yang berusia 27 tahun selepas lelaki itu dilarang keluar dari rumah kerana disyaki mempunyai perempuan lain.


“Berikutan pergaduhan mulut itu, suspek telah mengambil sebilah pisau pemotong daging sebelum cuba menetak kepala mangsa.


“Bagaimanapun, mangsa yang bekerja sebagai pembancuh simen sempat mengelak dengan mengangkat kedua-dua tangan menyebabkan kecederaan serius pada anggota badan tersebut.


“Wanita itu terus mengamuk dan menghayunkan pisau ke arah kaki kiri mangsa hingga menyebabkan lelaki itu mengalami kecederaan pada lutut kiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.


Beliau berkata, pergelutan itu bagaimanapun berjaya di­leraikan oleh datuk suspek yang bertindak menarik wanita itu daripada terus menyerang suaminya.


Katanya, adik mangsa yang dimaklumkan mengenai kejadian itu kemudian menghubungi polis sebelum suspek ditahan.


“Selain menahan suspek, polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging sepanjang 28 sentimeter untuk siasatan lanjut.


“Hasil siasatan lanjut, suspek dan mangsa telah berkahwin selama tiga tahun dan mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun,” katanya.


Tambah Stanley, siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan suspek tidak membenarkan mangsa keluar daripada rumah kerana disyaki lelaki itu mempunyai perempuan lain di luar rumah.


Katanya, mangsa kini dirawat di Hospital Sibu, manakala suspek akan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.-K! ONLINE


@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE