Penganggur bunuh pesara polis terlepas hukuman gantung
"Seorang penganggur terlepas hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan membunuh seorang pesara polis empat tahun lalu "
KOTA BHARU – Seorang penganggur terlepas hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan membunuh seorang pesara polis empat tahun lalu apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan tertuduh gila ketika melakukan perbuatan itu.
Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan keputusan itu selepas mendapati tertuduh, Mohd. Rozani Yahaya, 43, melakukan perbuatan itu sama seperti pertuduhan, namun dibebaskan kerana tidak berupaya mengesahkan perbuatan tersebut kerana tidak waras pada waktu kejadian.
Wan Ahmad Farid dalam penghakimannya memutuskan tertuduh akan diletakkan dibawah penjagaan yang selamat di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
“Mahkamah mengeluarkan perintah mengikut Seksyen 348 (2) Kanun Prosedur Jenayah supaya tertuduh diletakkan dalam tahanan selamat di hospital berkenaan sehingga mendapat perintah daripada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
“Perbuatan tertuduh yang memukul mangsa dengan sebatang besi dan berlari ke sana ke sini sebelum menyembunyikan diri di dalam alor sungai tidak mencerminkan keadaan waras tertuduh,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Rozani didakwa membunuh Ab. Halim Che Yusoff, 69, di tepi sebuah rumah di Kampung Apa-Apa, Bunut Susu dekat Pasir Mas kira-kira pukul 12 tengah hari pada 25 Januari 2018.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Khairul Anuar Wahab manakala tertuduh diwakili peguam Zameri Mat Nawang.
Wan Ahmad Farid dalam penghakimannya memaklumkan bahawa Mohd. Rozani mempunyai kad orang kelainan upaya (OKU) mental sejak 2004 selepas memasuki wad sakit jiwa Hospital Raja Perempuan Zainab II.
Menurutnya, tertuduh juga telah dipersetujui oleh pihak hospital mengalami masalah mental kerana pengambilan dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
@liputan7official