Penyanyi nasyid tanam ganja dalam kondominium direman


Penyanyi nasyid tanam ganja dalam kondominium direman

"Pemeriksaan dijalankan menemukan pokok ganja yang ditanam. Setakat ini siasatan awal mendapati ganja tersebut untuk kegunaan suspek sendiri," katanya


PETALING JAYA - Seorang penyanyi nasyid diberkas polis selepas dikesan menanam ganja di rumahnya di sebuah kondominium di Kota Damansara di sini pada Khamis.


Suspek seorang lelaki berusia lingkungan 40-an itu diberkas dalam serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Petaling Jaya di kediamannya.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pemeriksaan mendapati terdapat sejumlah ganja yang ditanam dalam rumahnya.


"Pemeriksaan dijalankan menemukan pokok ganja yang ditanam. Setakat ini siasatan awal mendapati ganja tersebut untuk kegunaan suspek sendiri," katanya.


Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Hari Polis ke 215 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di IPD Petaling Jaya pada Jumaat.


Menurutnya, siasatan lanjut masih lagi dijalankan berkaitan kes tersebut.


"Suspek direman pada pagi ini untuk siasatan lanjut.


"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.


Dalam pada itu, mengulas mengenai sambutan Hari Polis ke-215, Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya sentiasa komited bagi memastikan kadar jenayah di daerah ini dikurangkan.


"Trend kadar jenayah di Petaling Jaya dalam keadaan yang baik serta mencatatkan penurunan. Bagi tahun 2021, kita berjaya kurangkan kadar jenayah sebanyak 34 peratus.


"Selaras dengan amanat Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, polis Petaling Jaya akan sentiasa meningkatkan mutu perkhidmatan untuk berkhidmat kepada masyarakat," katanya.


Majlis Sambutan Hari Polis ke-215 peringkat IPD Petaling Jaya turut menyaksikan beberapa individu termasuk wakil media menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh Mohamad Fakhrudin.


@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE