Suami isteri pecah cermin kereta ditahan, kedua mereka positif dadah


Suami isteri pecah cermin kereta ditahan, kedua mereka positif dadah

"Modus operandi yang digunakan ialah bergerak secara bertiga menaiki dua buah motosikal ke kawasan sasaran antaranya perumahan, tapak pasar malam dan kawasan perkilangan. Salah seorang bertindak sebagai pencuri dan dua lagi menjadi pemerhati.


SUNGAI PETANI - Kegiatan suami isteri yang menjadikan kawasan tumpuan pengunjung di Tanjung Dawai sebagai sasaran pecah cermin kereta akhirnya tumpas apabila ditahan polis pada Jumaat.


Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kedua-duanya yang berusia 28 dan 33 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah rumah dekat Taman Semeling Maju, kira-kira jam 11 pagi.


Menurutnya, hasil pemeriksaan polis merampas barangan yang dicuri hasil pecah cermin kereta antaranya seutas rantai tangan, rantai leher, cincin, resit jualan barang kemas, telefon bimbit, sebuah kereta yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah dan sebuah kereta lagi yang dibeli hasil kegiatan itu turut dirampas.


"Modus operandi yang digunakan ialah menjadikan kedai makan dan kawasan tumpuan ramai sebagai sasaran lokasi seperti di Tanjung Dawai untuk melakukan jenayah berikutan terdapat banyak kenderaan pengunjung diletakkan di bahu jalan.


"Barangan curi kemudian dijual kepada orang perseorangan di mana hasil jualan akan digunakan untuk menampung perbelanjaan harian," katanya kepada media pada Ahad.


Beliau berkata, kedua-duanya direman selama empat hari bagi membantu siasatan.


Katanya, hasil ujian air kencing mendapati pasangan itu positif dadah jenis methamphetamine dan semakan rekod lampau mendapati suspek pernah ditangkap atas kesalahan mencuri serta pernah dipenjarakan atas kesalahan berkaitan dadah.


"Tangkapan membabitkan pasangan suami isteri ini telah berjaya menyelesaikan enam kes pecah cermin kereta termasuk tiga di derah Kuala Muda dan tiga di Yan.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.


Dalam perkembangan lain, Adzli berkata, empat ahli Geng Mad Add berusia antara 20 hingga 23 tahun ditahan dalam serbuan berasingan dekat Taman Sejati kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan 20 kes curi motosikal yang aktif sejak Julai 2019.


Menurutnya, polis merampas sebuah mesin grinder besi, 10 rangka motosikal dan sebuah enjin motosikal yang dilaporkan hilang sebelum ini.


"Modus operandi yang digunakan ialah bergerak secara bertiga menaiki dua buah motosikal ke kawasan sasaran antaranya perumahan, tapak pasar malam dan kawasan perkilangan. Salah seorang bertindak sebagai pencuri dan dua lagi menjadi pemerhati.


"Motosikal yang dicuri akan dihantar ke rumah salah seorang suspek yang bertindak sebagai pembeli dan pelerai motosikal.


"Komponen motosikal dijual melalui laman sosial mengikut harga dan permintaan pelanggan," katanya.


Sehubungan itu, katanya, polis menasihati orang ramai agar tidak terpedaya dengan iklan media sosial serta melaporkan kejadian mencurigakan melalui talian 04-4299222.


Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.


@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE