Bayi 6 bulan maut, ibu parah
"Apabila sampai di lokasi kejadian, tiba-tiba sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser datang, memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta itu."
Setiu: Seorang bayi lelaki berusia enam bulan maut manakala ibunya parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 75 Jalan Kuala Terengganu ke Kota Bharu di Kampung Air Sejuk, di sini, petang ini.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, mangsa Mohammad Qais Rizqi Shafiee, berusia enam bulan dari Padang Jawa, Klang, Selangor disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, pihaknya mendapat maklumat kira-kira jam 4 petang berlaku kemalangan maut di lokasi kejadian.
"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa pemandu kereta Proton Saga dalam perjalanan dari arah Rantau Panjang, Kelantan menghala ke Kuala Terengganu.
"Apabila sampai di lokasi kejadian, tiba-tiba sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser datang dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta itu.
"Kemudian datang penunggang motosikal jenis Honda Wave dari arah sama dengan Toyota Unser tidak sempat mengelak lalu bergesel dengan kereta Proton Saga," katanya ketika dihubungi malam ini.
Afandi berkata, ibu mangsa iaitu Nurul Ain Zulkarnain, 29, mengalami kecederaan serius patah peha kaki sebelah kiri.
"Lima mangsa lagi yang terbabit kemalangan itu dihantar ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan pesakit luar.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987," katanya.
@liputan7official