Rombongan merisik 'tak diundang' pada hari yang sama teman lelaki datang rumah untuk bincang tentang perkahwinan



Rombongan merisik 'tak diundang' pada hari yang sama teman lelaki datang rumah untuk bincang tentang perkahwinan


"Lebih membuatkan Nur Fatin Atirah, 22, tidak keruan apabila rombongan itu datang pada hari yang sama teman lelakinya, Muhammad Faiz Mohamed, 27, berkunjung ke rumah untuk beraya dan berbincang mengenai perancangan perkahwinan mereka."


Pasir Mas: Selain raya mengejut, Nur Fatin Atirah Mohd Zani dan keluarga turut dikejutkan dengan kedatangan rombongan merisik 'tidak diundang' pada Syawal kedua yang lalu.


Lebih membuatkan Nur Fatin Atirah, 22, tidak keruan apabila rombongan itu datang pada hari yang sama teman lelakinya, Muhammad Faiz Mohamed, 27, berkunjung ke rumah untuk beraya dan berbincang mengenai perancangan perkahwinan mereka.


 Kisah itu mendapat perhatian selepas Nur Fatin Atirah memuat naik video berkenaan di TikTok, minggu lalu.


 Bercerita lanjut, Nur Fatin Atirah yang menetap di Kampung Lati, di sini berkata, dia sekeluarga hanya bersedia untuk menerima kedatangan Muhammad Faiz pada hari berkenaan.



 "Sejak awal tahun lagi teman lelaki saya sudah menyatakan hasrat untuk bertemu dan berkenalan dengan mama (Maheran Ramly, 41) dan abah (Mohd Zani Hamzah, 49).



 "Bagaimanapun, baru raya kedua tempoh hari dia berkesempatan datang ke rumah dan datang beraya sekali gus.


 "Kira-kira 10 minit selepas teman lelaki tiba ,datang pula rombongan keluarga sebelah ibu dan yang mengejutkan mereka membawa bersama kain dan duit dalam sampul sebagai tanda untuk merisik," katanya ketika dihubungi Harian Metro.


 Menurut Nur Fatin Atirah, salah seorang wakil rombongan berkenaan kemudian datang kepadanya dan berbisik bagi menyatakan hasrat untuk merisiknya bagi pihak cucu lelakinya.


 "Saya terkejut dan terus beritahunya yang saya sudah berpunya.


 "Kemudian, abah dan mama pula terangkan kepada wakil rombongan itu mengenai status saya dan tujuan kehadiran teman lelaki yang juga datang untuk berbincang perihal kahwin.


 "Kiranya, saya dan keluarga menolak dengan cara baik. Ikutkan bukan hanya saya malah abah dan mama juga terkejut dengan kedatangan rombongan itu kerana tidak diberitahu lebih awal," katanya yang juga anak sulung daripada empat beradik.


  Nur Fatin Atirah berkata, teman lelakinya tidak berkecil hati malah sekadar mengusiknya selepas tahu hal sebenar.


 "Mulanya teman lelaki saya tidak tahu dan selepas mengetahuinya, dia menyakat saya dengan bertanya mengapa tidak terima pinangan itu.


 "Bagaimanapun, dia hanya bergurau dan video dimuat naik di TikTok sekadar untuk berkongsi pengalaman lucu ketika menyambut hari raya saja dan tiada niat mengaibkan sesiapa.


"Sebahagian netizen memandang daripada sudut positif namun ada juga mengecam tetapi saya memilih untuk tidak membaca komen negatif," katanya yang merancang mengikat tali pertunangan dengan teman lelakinya pada


awal tahun hadapan selepas lebih dua tahun berkenalan.


#kw rombongan, merisik, video, tiktok, netizen


@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE