Hukuman mati mandatori dimansuh, keluarga mangsa bantah tidak berpuas hati


Hukuman mati mandatori dimansuh, keluarga mangsa bantah tidak berpuas hati

"Mereka yang menentang hukuman mati pula berkata kesilapan mahkamah mungkin berlaku ketika siasatan atau semasa pendakwaan. Bagaimanapun, penerimaan rakyat terhadap hukuman mati mampu bertukar seiring peredaran masa dan keadaan politik negara."




KERAJAAN telah bersetuju memansuhkan hukuman mati di negara ini dan ia akan digantikan dengan hukuman lain tertakluk kepada budi bicara mahkamah.


Keputusan ini sekali lagi mencetuskan perbahasan dalam kalangan rakyat. Keluarga mangsa bunuh membantah langkah itu manakala pejuang hak asasi manusia menyokongnya.


Pengamal undang-undang pula mahu pemansuhan hukuman mati turut terpakai kepada kes-kes yang telah diputuskan sebelum ini, membabitkan 1,359 banduan yang menunggu untuk digantung sejak 2018.


Malaysia ketika ini memperuntukkan hukuman mati melibatkan 32 kesalahan di bawah lapan akta berbeza. Daripada 32 kesalahan ini, 11 kesalahan memperuntukkan hukuman mati mandatori iaitu satu-satunya hukuman yang boleh dan wajib dikenakan ke atas individu yang didapati bersalah.


Antara jenis kesalahan yang boleh dikenakan hukuman mati ialah melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong, membunuh, mengedar dadah, menculik dan terlibat dalam aktiviti keganasan.


Buat masa ini, 108 negara sudah memansuhkan hukuman mati berbanding 55 negara yang masih mengekalkannya. Walaupun 55 negara masih mengekalkan hukuman mati namun 32 daripadanya tidak melaksanakan dalam tempoh 10 tahun.


Kerajaan harus berhati-hati mengenai dasar baharu ini supaya tidak menimbulkan kegusaran rakyat tentang kemungkinan berlaku lonjakan kes jenayah dan pengedaran dadah. Apatah lagi tinjauan pendapat sebelum ini menunjukkan masyarakat umum cenderung hukuman mati diteruskan.


Mereka yang menentang hukuman mati pula berkata kesilapan mahkamah mungkin berlaku ketika siasatan atau semasa pendakwaan.


Bagaimanapun, penerimaan rakyat terhadap hukuman mati mampu bertukar seiring peredaran masa dan keadaan politik negara.


Pada masa sama, mahkamah juga harus mempunyai satu garis panduan yang jelas mengenai hukuman gantian supaya setimpal dengan perbuatan jenayah di samping memberi keadilan kepada mangsa dan waris.


Rancangan untuk mengenakan hukuman penjara minimum 30 tahun bagi menggantikan hukuman mati mungkin boleh meredakan keadaan.


Kita berharap perkara ini akan dibahaskan dan diteliti sehalus-halusnya apabila rang undang-undang memansuhkan hukuman mati mandatori dibentangkan di Dewan Rakyat nanti.


@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE