Dua penagih dadah gagal loloskan diri


Dua penagih dadah gagal loloskan diri

"Cubaan dua penagih dadah meloloskan diri daripada anggota polis bertukar padah apabila kereta yang dipandu suspek melanggar sebuah kenderaan lain mengakibatkan kereta peronda polis turut terbabas"

KUALA LUMPUR – Cubaan dua penagih dadah meloloskan diri daripada anggota polis bertukar padah apabila kereta yang dipandu suspek melanggar sebuah kenderaan lain mengakibatkan kereta peronda polis turut terbabas dalam kejadian di Jalan Sungai Besi, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, insiden itu berlaku pada pukul 3.10 pagi membabitkan kereta peronda polis dan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu suspek dari Lebuh Raya Duta – Ulu Kelang (DUKE) menghala ke Plaza Tol Jalan Duta.


“Sampai di persimpangan Jalan Sungai Besi dan Jalan Dua, kereta yang dipandu suspek telah terlanggar sebuah kenderaan lain menyebabkan anggota peronda turut merempuh kereta suspek sebelum terbabas di tepi jalan.

“Pemandu yang dilanggar suspek tidak mengalami sebarang kecederaan manakala kereta peronda polis mengalami kerosakan di bahagian hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Tambahnya, salah seorang anggota polis mengalami kecederaan di bahagian muka termasuk mulut manakala seorang lagi anggota tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Anggota yang cedera telah dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk mendapatkan rawatan.

“Polis kemudian menahan dua suspek lelaki warga tempatan berusia lingkungan 33 tahun yang mengalami kecederaan ringan di bahagian muka,” ujarnya.

Jelasnya, hasil saringan ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis syabu.

Katanya, kesemua suspek kini ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 186 dan 337 Kanun Keseksaan.

@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE