Jangan beli air zam zam - Timbalan Menteri

Jangan beli air zam zam - Timbalan Menteri

"Orang ramai dinasihatkan tidak membeli air zam zam yang dijual secara komersial di dalam negara."


KOTA BHARU: Orang ramai dinasihatkan tidak membeli air zam zam yang dijual secara komersial di dalam negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata air berkenaan tidak dapat dipastikan ketulenannya.

"Orang perseorangan atau jemaah tidak dibenarkan membawa balik kerana Kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan mereka membawa keluar air zam zam.

"Bagaimana mereka boleh membawa dengan kuantiti yang banyak," katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada 13 keluarga dalam Parlimen Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.


Ahmad Marzuk berkata, hanya Tabung Haji dan agensi pengendali umrah dan haji yang dibenarkan membawa pulang air zam zam bagi pihak jemaah, sebelum jemaah mengambilnya di lapangan terbang.

Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan memaklumkan, tiada pengedar atau syarikat di Malaysia yang mendapat lesen, bagi mengimport dan menjual air zam zam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, air zam zam dikategorikan sebagai air mineral semula jadi dan termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985, dan pengimportan air mineral semula jadi memerlukan lesen punca air KKM, setelah mendapat dokumen pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Marzuk turut mengingatkan pihak yang mahu mengupah badal haji supaya memilih mereka yang benar-benar tulen, bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

"Jangan terlalu melihat atau memilih harga yang murah kepada kos untuk mengerjakan haji tinggi. Tidak munasabah sekiranya caj untuk badal haji yang dikenakan sangat rendah.

"Setakat ini, kita tidak menerima laporan terperinci berhubung perkara itu, sebaliknya setakat ini hanya dakwaan," katanya.




@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE