Jual minyak masak secara online, 255kg minyak masak peket dirampas


Jual minyak masak secara online, 255kg minyak masak peket dirampas

"Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3 juta."


PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 255 kilogram (kg) minyak masak pek polibeg bersubsidi di sebuah premis di Petaling Jaya dalam serbuan pada Jumaat lalu.

Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, serbuan dijalankan merupakan operasi membanteras aktiviti penjualan minyak masak secara dalam talian melalui platform e-dagang terkenal dalam negara.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati hanya barang kawalan minyak masak peket 1 kilogram (kg) ditemukan.

"Premis juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 daripada pengawal bekalan untuk berurus niaga dengan barang kawalan berjadual berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, selain minyak masak, turut disita beberapa dokumen perniagaan dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM637.50.

"Pasukan serbuan telah mengambil tindakan ke atas premis terbabit kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menjual barang kawalan tanpa lesen dan Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu mana-mana orang tidak boleh berurusan secara borong dan runcit apa-apa barang berjadual tanpa lesen yang dikeluarkan di bawah Peraturan 4 Akta yang sama," katanya.

Beliau berkata, pada hari sama, KPDNHEP melakukan serbuan berasingan di Puchong, Selangor turut merampas 27 unit minyak masak kemasan botol 1kg, 2kg dan 3kg dengan nilai keseluruhan RM858

"Hasil pemeriksaan lanjut, pihak premis telah mengemukakan lesen runcit di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang masih sah tempohnya namun alamat didaftarkan dalam lesen itu berbeza daripada alamat premis yang menyimpan barang-barang kawalan terbabit," katanya.

Azman berkata, kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 telah dibuka bagi kedua-dua kes berkenaan bagi mengenal pasti rantaian pengedaran minyak masak terbabit termasuklah maklumat dari mana bekalan minyak masak tersebut diperolehi.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3 juta.

"Syarikat juga boleh disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan barang kawalan bersubsidi terutamanya berkaitan minyak masak," katanya.

Dalam pada itu, Azman berkata, peniaga yang berurusan dengan barang kawalan dan bersubsidi terutamanya minyak masak diingatkan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah dikuatkuasakan.

"Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam penyelewengan barang kawalan seumpama ini," tegasnya.

@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE