Kos RM787 juta diperlukan untuk baik pulih , bukan bina stadium baharu

Kos RM787 juta  diperlukan untuk baik pulih , bukan bina stadium baharu

"Jumlah tersebut turut didakwa melibatkan kos keseluruhan bagi menukar sistem pendawaian elektrik, struktur bumbung, pembaikan padang dan membaiki sistem perpaipan."


SHAH ALAM: Kos RM787 juta bagi Stadium Shah Alam melibatkan proses membaik pulih atau menaik taraf keseluruhan fasiliti dan bukannya pembinaan stadium baharu.

Jumlah tersebut turut didakwa melibatkan kos keseluruhan bagi menukar sistem pendawaian elektrik, struktur bumbung, pembaikan padang dan membaiki sistem perpaipan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah itu besar kerana meliputi kerja meninggikan platform stadium 1.5 meter bagi mengelak banjir berulang.

“Ia juga bukan hanya kos bagi Stadium Shah Alam namun Stadium Tertutup Melawati yang berada di kawasan sama. Ramai beranggapan bahawa kos RM787 juta itu adalah kos membina stadium baharu. Ia tidak benar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Amirudin, kerajaan negeri memutuskan pelaksanaan pembangunan baru Kompleks Sukan Shah Alam selepas meneliti cadangan dan kertas kerja yang diterima sejak 2013.

“Ia turut mengambil kira kos membaik pulih yang terlalu tinggi serta kekangan yang dihadapi. Pembangunan baru yang tidak melibatkan sebarang dana kerajaan negeri itu akan menumpukan teknologi hijau dan mesra alam serta memberi wajah baru kepada stadium berkenaan,” jelasnya.

Tambah beliau, polemik isu stadium itu bukan baharu dan dilihatnya ketika menjadi Exco Pembangunan Belia dan Sukan negeri serta pengurus pasukan bola sepak Selangor.

“Banjir besar pada 2006, 2015 dan 2021 mengakibatkan kerosakan kepada stadium itu. Sejak 2013 hingga kini, kerajaan negeri membelanjakan RM56 juta bagi membaiki dan membaik pulih antaranya bumbung, bilik persalinan, sistem pendawaian elektrik serta saliran air,” katanya.

Minggu lalu, kerajaan negeri masih tidak mengesahkan status Stadium Shah Alam sama ada diroboh atau dikekalkan sebaliknya perkara itu akan diketahui seawal Oktober ini selepas pameran awam dilakukan.

Amirudin memaklumkan satu pameran akan diadakan pada September ini bagi mendedahkan ilustrasi awal stadium dan kawasan itu yang mana lokasinya akan dimaklumkan kemudian.

Namun, pembaikan keseluruhan stadium dengan kapasiti 80,300 penonton itu memerlukan perbelanjaan sehingga RM787 juta. Projek pembangunan stadium yang bakal berwajah baharu itu akan dilakukan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) bermula tahun depan dan dijangka siap pada 2026

@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE