Minyak peket susah dapat, cuba buat minyak kelapa sendiri

Minyak peket susah dapat, cuba buat minyak kelapa sendiri

"Kembali kepada minyak kelapa. Mengapa tidak. Kelapa tumbuh dengan mudah di negara ini dan boleh didapati di mana-mana. Dan kelapa tidak bersaing dengan dirinya sendiri sepertimana minyak sawit."

BELALANG tak tahu nak jawab apa apabila ditanya kat mana nak dapat minyak masak peket kerana itu sahaja yang mampu dibeli tapi kat mana-mana pun tak ada.

Siapa ada jawapannya? Sebab kita semua tak ada jawapan kepada permasalahan ini.

Pihak kementerian dan pihak berkuasa boleh cakap apa sahaja tapi hakikatnya barang yang dicari itu tak ada di mana-mana.

Semalam, Belalang ke sebuah kedai runcit francais di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang. Di situ pun tak ada.

Kemudian Belalang ke sebuah pasar raya kerana menyangka mungkin pasar raya besar ada lebihan stok namun sangkaan Belalang ternyata meleset.

Yang ada hanya pelekat notis; “Stok minyak masak peket kehabisan”.

Di situlah Belalang ditanya, kat mana nak dapatkan minyak masak peket oleh seorang suri rumah yang menurutnya telah meronda ke seluruh ceruk rantau sekitar rumah tapi berakhir dengan kekecewaan.

Jadi di mana mereka yang tak mampu beli minyak masak botol (yang kini melambung harga sehingga 40 peratus daripada harga asal) hendak tuju dan hendak beli minyak masak yang mampu mereka beli.

Sebenarnya tak ada siapa pun yang ada jawapan pasti.

Maka Belalang pun terkenangkan zaman dulu-dulu di mana Belalang sendiri pernah menyaksikan bagaimana nenek moyang Belalang menyuling minyak masak sendiri yang diperbuat daripada santan kelapa.

Ia dinamakan minyak kelapa atau orang di sebelah utara cakap 'minyak nyoq'.

Zaman itu iaitu di tahun 1970-an, minyak masak sawit belum wujud, malah ladang kelapa sawit pun belum wujud di Malaysia.

Yang dijual di kedai-kedai runcit hanyalah minyak kelapa. Ia bukan sahaja wangi, malah boleh dibuat sendiri.

Orang kampung masa itu tidak beli minyak masak sebaliknya mereka buat sendiri di belakang rumah. Hampas kelapa yang diperah untuk dijadikan minyak masak dikeringkan dan dikepingkan menjadi makanan ayam dan itik.

Tak ada satu bahan pun yang terbuang atau menjadi hampas.

Tapi bila masa beredar dan minyak sawit menggantikan minyak kelapa, maka minyak kelapa pun dilupakan.

KOMODITI BERGUNA

Namun apabila teknologi dan kaji selidik berkembang maju, tiba-tiba minyak masak sawit mendapati ia terpaksa bersaing dengan dirinya sendiri.

Ia menjadi komoditi hasil pertanian yang paling berharga kerana kepelbagaian produk yang boleh dihasilkannya, bukan minyak masak sahaja malah boleh dibuat sabun, diproses menjadi minyak kenderaan dan kini kapal terbang serta macam-macam lagi hinggakan pada akhirnya hanya sejumlah peratusan yang kecil sahaja diproses sebagai minyak masak.

Sebab itulah orang sering bertanya, dari utara ke selatan, timur ke barat penuh dengan ladang sawit tapi minyak masak sawitnya mana?

Jawapannya ialah sebahagian besar sawit diguna untuk menghasilkan pelbagai produk lain yang jauh lebih menguntungkan daripada minyak masak.

Manusia bertambah. Manusia perlu makan tapi bahan yang diperlukan untuk memasak makanan manusia digunakan bagi menghasilkan produk yang jauh lebih menguntungkan.

Manusia yang didorong oleh keuntungan mahu sahaja memaksimumkan hasil untuk mencapai laba yang lebih besar.

Maka apabila produk kurang, permintaan tinggi, hasilnya ialah harga yang melambung.

Kini dengan melambungnya harga minyak masak sawit, malah yang paling murah sekali pun sukar untuk diperoleh kerana menjadi rebutan ramai maka ada baiknya negara kita memikirkan alternatif lain kepada minyak sawit.

Jawapannya ialah kembali kepada minyak kelapa. Mengapa tidak. Kelapa tumbuh dengan mudah di negara ini dan boleh didapati di mana-mana. Dan kelapa tidak bersaing dengan dirinya sendiri sepertimana minyak sawit.

Kredit : BELALANG

@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE