Perniagaan "cedok-cedok" adalah HARAM hukumnya
“Ia juga adalah batil dan tidak sah kerana mengandungi unsur gharar yang dilarang keras oleh Rasulullah SAW,” katanya.
SEJAK akhir-akhir ini, kecoh di media sosial mengenai perniagaan ‘cedok-cedok’ yang semakin trending dalam aplikasi TikTok.
Sistem perniagaan berkenaan menjadi pilihan beberapa peniaga baharu kerana lebih mudah menjalankan urusan jual beli dalam talian dengan bantuan Tik Tok Shop.
Trend berkenaan dipercayai diamalkan ramai peniaga dari negara China kerana mereka tidak perlu menyewa kedai dan boleh menjalankan aktiviti perniagaan di rumah sahaja.
Kini, trend tersebut menular ke negara kita malah semakin ramai peniaga dalam talian mempraktikkan urusan jual beli berkenaan.
Aktiviti jual beli itu menarik minat pelayar kerana mereka dapat melihat secara langsung penjual mencedok barangan yang dibeli pada harga tertentu.
Antara barangan yang dijual secara cedok-cedok adalah batu kristal, kerongsang, alat solek, alat tulis, makanan ringan dan azimat mini.
Barangan berkenaan akan dicedok menggunakan sudu, senduk, cawan atau mangkuk secara rawak pada kadar harga RM5 hingga RM1,000 seceduk.
Peniaga juga akan menawarkan beberapa hadiah percuma kepada pembeli mengikut jumlah cedok yang dibeli.
Sebagai contoh, jika pembeli beli dua cedok, tiga hadiah percuma diberikan dan jika pembeli membayar lima cedok, 15 hadiah akan mereka terima.
Bagaimanapun, jumlah setiap barangan dicedok tidak sama bagi setiap pelanggan kerana ada yang dapat lebih daripada harga dibayar dan ada pula sebaliknya.
Hukum
Trend jual beli cedok-cedok mendapat perhatian ramai yang mahu mengetahui hukum perniagaan berkenaan di sisi Islam.
Perkara itu juga mendapat perhatian pendakwah, Amirul Amin atau lebih dikenali sebagai PU Amin.
Beliau memberi penjelasan mengenai hal tersebut di TikTok miliknya yang dimuat naik pada 20 Julai lalu.
Menurutnya, trend perniagaan cedok-cedok ini sama dengan jual beli 'mulamasah' yang sangat dilarang oleh Nabi Muhammad SAW.
“Jual beli cedok sebegini adalah bentuk jual beli jahiliah.
“Ia juga adalah batil dan tidak sah kerana mengandungi unsur gharar yang dilarang keras oleh Rasulullah SAW,” katanya.
Gharar bermaksud, ketidaktentuan semasa akad barangan yang diperoleh secara tepat dengan bayaran yang dibuat.
Kemusykilan mengenai trend jual beli berkenaan turut diajukan kepada pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus yang dimuat naik di TikTok pada 21 Julai lalu menyatakan pendirian sama seperti PU Amin.
Azhar berkata, Rasulullah SAW melarang kita mengamalkan jual beli mulamasah di mana mata kita tidak melihat barangan jualan hanya dengan sentuhan contohnya, di dalam gelap sentuh barang dan bayar.
“Barang itu kita perlu tahu banyak mana, apa faedahnya, kualitinya, kuantitinya dan kita bersetuju untuk membayar dengan harga itu.
“Maka, kita ambil barang itu daripada pekedai atau penjual dan kita tukarkan dengan duit kita yang dipersetujui penjual,” katanya.
Terang beliau lagi, jika berlaku situasi untung kepada penjual tetapi rugi kepada pembeli dan sebaliknya ia dihukum haram.
Ulasan oleh ahli agama berkenaan mendapat perhatian peniaga yang mengamalkan urusan jual beli tersebut.
Menyedari aktiviti perniagaan sedemikian adalah haram, ada antara penjual kini mengubah cara perniagaan mereka daripada cedok-cedok kepada cedok timbang.
Pembeli akan membayar mengikut gram pada harga tertentu dan penjual akan menceduk serta menimbang barang berkenaan sebelum diposkan kepada pembeli.
Kesimpulannya, tidak salah menjalankan perniagaan kerana ia merupakah sunnah Rasulullah SAW namun amalkanlah seperti yang dituntut dalam Islam.
@liputan7official