RM 10 Juta tu derma...

'Saya tolak sumbangan jika tahu sumbernya dari aktiviti haram'

"Ahmad Zahid, 69, yang menyentuh mengenai sumbangan diterima daripada seorang penderma dari Sarawak menerusi seorang ahli perniagaan, Wong Sang Woo @ Wong Shuh Chain berkata, sumbangan berjumlah RM10 juta yang diterima menerusi 10 cek itu adalah sah"

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi pada Isnin bahawa sebagai seorang yang beragama Islam beliau akan menolak sumbangan yang disalurkan kepada Yayasan Akalbudi (YAB) sekiranya mengetahui sumbernya daripada aktiviti haram.

Ahmad Zahid, 69, yang menyentuh mengenai sumbangan diterima daripada seorang penderma dari Sarawak menerusi seorang ahli perniagaan, Wong Sang Woo @ Wong Shuh Chain berkata, sumbangan berjumlah RM10 juta yang diterima menerusi 10 cek itu adalah sah.


"Penderma datang dari Sarawak dan Sang Woo adalah rakan kongsi kepada penderma itu dan beliau (penderma) tidak berada di Malaysia. Oleh kerana penderma tidak berada di negara ini, jadi beliau menyerahkan sumbangan melalui Sang Woo.

"Maka, saya mempunyai pendirian bahawa wang itu bukan wang yang datang daripada aktiviti haram atau mana-mana sumber haram yang diberikan oleh Sang Woo. Sebagai orang Islam, kalau saya mengetahui sumbernya haram, pasti saya menolak sumbangan sebegitu, itu pegangan saya,” katanya.


Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh peguamnya, Hamidi Mohd Noh ketika membela diri atas 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit milik dana YAB.

Pada prosiding sebelum ini, Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Christ Sheldon Merun memberitahu mahkamah bahawa Ahmad Zahid meminta sumbangan RM10 juta daripada Sang Woo yang merupakan Pengarah Syarikat Chia Bee Enterprise Sdn Bhd semasa majlis makan malam pada 2015, yang sumbangan tersebut untuk orang miskin dan individu yang memerlukan.

Pegawai Penyiasat SPRM, Mohd Amirudin Nordin Wong dalam keterangan sebelum ini pula berkata, Sang Woo tidak berjaya dikesan untuk dipanggil memberi keterangan di mahkamah dan hasil siasatan dengan Jabatan Imigresen mendapati dia berada di luar negara, hanya pernyataan saksinya dikemukakan di mahkamah.

Menyentuh mengenai sumbangan RM7.5 juta yang diterima daripada Yayasan Al-Bukhary, Ahmad Zahid berkata, walaupun sumbangan tersebut diterima daripada rakannya, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary berupa wang tunai, ia bukan untuk kegunaan peribadinya.

Beliau berkata, wang tersebut adalah sumbangan politik atau amal jariah yang diakadkan dalam bai’ah, maka wang tersebut tidak dimasukkan dalam akaun peribadinya.

"Wang tunai itu tidak boleh masuk dalam akaun Yayasan Akalbudi secara tunai. Omar Ali Abdullah sebagai pengurup wang yang menukarkan wang tersebut (RM7.5 juta) kepada cek dan masuk ke akaun Tetuan Lewis & Co iaitu pemegang amanah Yayasan Akalbudi.

"Penukaran wang itu kepada cek adalah inisiatif Omar Ali sendiri bukan atas arahan saya,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Bernama

@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE