VIDEO - Kemalangan berlaku berpunca daripada penjual jeruk tepi jalan


Kemalangan berlaku berpunca daripada penjual jeruk tepi jalan

"Penjual ataupun penjaja dan pembeli boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan jika disabitkan kesalahan."

PADAH menjalankan aktiviti jual beli jeruk mangga di tepi jalan raya, seorang penunggang motosikal akhirnya menjadi mangsa apabila tercampak akibat dilanggar kenderaan lain, dalam kejadian dipercayai berlaku di Bangi, Selangor baru-baru ini.

Meskipun berada di laluan yang betul, penunggang tersebut dilihat gagal untuk mengawal kenderaan apabila sebuah kereta jenis Nissan Xtrail secara tiba-tiba menukar laluan ke sebelah kiri sebelum mangsa jatuh tersembam ke atas jalan.


Rakaman dashcam insiden itu dikongsikan di laman Twitter milik @wnremi.

Difahamkan, kemalangan itu berpunca daripada sebuah kenderaan depan Nissan Xtrail terbabit yang menghalang laluan di situ kerana ingin membeli jeruk mangga.

Meskipun berada di kawasan jalan raya lurus, penjual terbabit masih menjalankan aktiviti jual beli tanpa mengambil kira soal keselamatan pemandu lain.

Mungkin disebabkan menunggu terlalu lama, pemandu Nissan Xtrail terbabit kemudiannya menukar lorong tanpa menyedari kehadiran penunggang motosikal terbabit.

Akibat daripada pelanggaran itu, mangsa dilihat tercampak ke tengah jalan dan kenderaan yang didakwa melakukan kesalahan tersebut terus beredar tanpa menghiraukan kejadian yang berlaku.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet melemparkan kecaman dan kesalahan kepada penjual jalanan tersebut.

Zul Norizan berpendapat, orang ramai perlu hentikan budaya menjual beli di jalan raya sekiranya enggan kejadian seperti itu berulang lagi.

"Saya harap rakyat Malaysia tolong jangan beli lagi mangga ataupun jeruk di jalanan macam ni, selagi ada yang membeli selagi itu la akan ada yang menjual, bila kemalangan menyusahkan semua pihak," katanya.

"Penjual mangga itu punca utama, trend menjual cara macam ni memang ada di serata negeri dan pihak berwajib kena ambil tindakan pada peniaga ni semua secepat yang mungkin," kata Naim Zaini.

"Kalau nak menjual sekali pun pergi la simpang lampu isyarat, masa lampu hijau boleh meniaga bukan di laluan lurus macam ni," tambah em_yusoff.

Biarpun larangan berniaga di persimpangan lampu isyarat dan lebuh raya telah dikuatkuasakan oleh pihak berwajib, namun larangan tersebut masih dipandang enteng dan jumlah peniaga semakin bertambah sejak kebelakangan ini.




Menurut Undang-Undang Kaedah 10A (1) Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan 1959 (LN 166/59) penjual ataupun penjaja dan pembeli boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan jika disabitkan kesalahan.

@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE