VIDEO - Wanita ditahan curi barang hampir RM1,000, kekasih diburu


Wanita ditahan curi barang hampir RM1,000, kekasih diburu

“Pasangan itu dipercayai cuba keluar tanpa membuat pembayaran terhadap barangan yang diambil mereka yang mana kesemuanya bernilai RM952.19, antara barangan diambil termasuklah pelbagai jenis coklat, cangkuk kenderaan dan juga pemegang telefon bimbit.


JOHOR BAHRU – Seorang wanita ditahan polis selepas dipercayai cuba melarikan pelbagai barangan bernilai hampir RM1,000 dalam satu cubaan samun di sebuah pasar raya di Tebrau, di sini malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, seorang lagi suspek iaitu seorang lelaki berusia 33 tahun yang dipercayai merupakan pasangan wanita berkenaan sedang diburu polis.


Menurut beliau, pasangan terbabit bertindak mengambil beberapa barangan di pasar raya tersebut sebelum keluar tanpa buat pembayaran di laluan kaunter pembayaran secara layan diri.


“Pengadu memaklumkan dia menyedari kejadian itu pada pukul 7.15 malam, dimana seorang wanita berusia 31 tahun dan pasangannya, lelaki berusia 33 tahun cuba mencuri barangan pasar raya tersebut, kelmarin.

“Pasangan itu dipercayai cuba keluar tanpa membuat pembayaran terhadap barangan yang diambil mereka yang mana kesemuanya bernilai RM952.19, antara barangan diambil termasuklah pelbagai jenis coklat, cangkuk kenderaan dan juga pemegang telefon bimbit.


“Ketika cuba ditahan orang awam, suspek lelaki bertindak melarikan diri dengan meninggalkan suspek perempuan menggunakan sebuah kenderaan jenis Honda City dengan nombor pendaftaran WD9391A,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Tambah Raub, suspek lelaki yang memandu kenderaan itu secara tergesa-gesa turut melanggar sebuah motosikal dan sebuah kereta lain yang diletak di parkir pasar raya berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut dibuat mendapati suspek wanita warga tempatan itu positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai tiga kesalahan lampau melibatkan kes dadah, dia kini dikenakan reman selama empat hari.

“Manakala, polis sedang memburu suspek lelaki yang dikenali sebagai Muhammad Firdaus Shamsudin, yang mempunyai 10 rekod lampau bersabit kes curi dalam bangunan, penyalahgunaan dadah dan juga kes jenayah,” ujarnya.

Raub turut memberitahu, siasatan berhubung kejadian itu dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 427 Kanun Keseksaan.


“Sehubungan itu, kami turut meminati kerjasama orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung suspek untuk menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Nuraziera Miersha Jamaludin di talian 017-3498690,” jelasnya.

@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE