‘Abang bomba’ dapat upah RM3,000 seludup ketum


‘Abang bomba’ dapat upah RM3,000 seludup ketum

“Keterangan awal mereka mengaku menerima RM3,000 bagi setiap trip menghantar daun ketum yang diambil dari utara tanah air untuk dipasarkan di Machang."

JELI - Dua lelaki termasuk seorang anggota bomba ditahan kerana dipercayai menerima upah RM3,000 bagi menyeludup 850 kilogram (kg) daun ketum dengan menggunakan ‘van pasukan’ di Kampung Rabbana di sini pada Khamis lalu.

Anggota bomba berusia 29 tahun terbabit ditahan bersama rakannya yang berusia 35 tahun pada jam 10.34 pagi.


Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Ahmad Arifin berkata, sebelum itu, mereka yang lengkap beruniform pasukan bomba menaiki sebuah van berwarna merah dan berlogo tulisan bomba melintasi Sekatan Jalan Raya di Batu Melintang di sini dalam keadaan mencurigakan.

Polis mengekori dan mengarahkan mereka berhenti.

“Pemeriksaan di dalam van menjumpai 85 bungkusan plastik berwarna hitam berisi daun ketum seberat 850kg yang dianggarkan bernilai RM8,500.

“Siasatan lanjut mendapati seorang suspek adalah penjawat awam, manakala seorang lagi orang awam mengaku sebagai sukarelawan bomba,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, van tersebut dipercayai diubah suai termasuk dicat menjadi van bomba dan pemeriksaan terhadap nombor pendaftaran van tersebut didapati sah namun nombor casis didapati tidak wujud selain nombor enjin berkait dengan laporan lori hilang di Johor pada tahun 2013.

“Keterangan awal mereka mengaku menerima RM3,000 bagi setiap trip menghantar daun ketum yang diambil dari utara tanah air untuk dipasarkan di Machang.

“Mereka dipercayai aktif bermula awal Oktober lalu dan dikatakan kali ketiga melakukan penyeludupan daun ketum,” katanya.

Ahmad berkata, bomba tersebut mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh namun urin kedua-dua mereka adalah negatif dadah.

“Mereka ditahan reman bermula Khamis lalu sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 168 dan 171 Kanun Keseksaan dan Seksyen 108(f) Akta Pengangkutan Jalan 1978,” katanya.

@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE