Anwar dakwa PH peroleh majoriti bentuk kerajaan

Anwar dakwa PH peroleh majoriti bentuk kerajaan

"Tanpa menamakan gabungan mana yang akan menyertai kerajaan baharu itu, Anwar sebaliknya menegaskan mereka telah memperoleh majoriti melebih 111 kerusi Parlimen."

PETALING JAYA - Pakatan Harapan (PH) sudah mencapai persefahaman dan persetujuan dengan rakan gabungan untuk membentuk kerajaan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tanpa menamakan gabungan mana yang akan menyertai kerajaan baharu itu, Anwar sebaliknya menegaskan mereka telah memperoleh majoriti melebih 111 kerusi Parlimen.

"Kita terima keputusan dan hormati pilihan rakyat. Kita (PH) adalah blok terbesar (tetapi) kita faham tiada parti peroleh majoriti dalam Parlimen dan memerlukan beberapa proses perbincangan.

"Kita ingin maklumkan bahawa kita telah capai persefahaman untuk membentuk kerajaan (dan ia akan terlaksana) selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk diputuskan," katanya ketika sidang akhbar di Pusat Media PH di salah sebuah hotel di sini pada awal pagi Ahad.

Turut hadir, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Presiden Parti Ikatan Demokratik (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sementara itu, ditanya sebab keputusan PH tidak menamakan gabungan yang bakal menyertai kerajaan baharu bakal dibentuk nanti, Ahli Parlimen Tambun itu menjelaskan masanya belum tiba untuk berbuat demikian.

"Kita berasakan tidak sesuai untuk diumumkan sekarang (kerana) kita akan hantar dokumen (kepada Yang di-Pertuan Agong dahulu)," katanya.

Ditanya bila gabungan itu akan menyerahkan dokumen kepada Istana Negara, beliau berkata perkara itu akan dibuat secepat mungkin.

"(Kalau boleh) kami bercadang menghantarnya sekarang," selorohnya.

@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE