Guru besar SK Sahom maut nahas motosikal dilanggar kereta


Guru besar SK Sahom maut nahas motosikal dilanggar kereta

"Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku selepas Perodua Alza yang datang dari arah Kampar ke Ipoh, hilang kawalan sebelum berpusing memasuki arah bertentangan."

KAMPAR: Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Sahom maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah Perodua Alza di Kilometer (km) 23.5 Jalan Ipoh- Kuala Lumpur berhampiran warung Kampung Gunung Panjang di sini pagi tadi.

Mangsa, Mohd Erilzuddin Affendi Mohd Amir, 45, yang menunggang motosikal Honda Vario disahkan maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian pada jam kira-kira 7.40 pagi sebelum ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku selepas Perodua Alza yang datang dari arah Kampar ke Ipoh, hilang kawalan sebelum berpusing memasuki arah bertentangan.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati kedudukan kedua-dua kenderaan berada di kawasan berumput di bahu jalan menghala ke Kampar

"Berdasarkan kedudukan kedua-dua kenderaan itu, kereta Perodua Alza dipercayai datang dari arah Kampar menuju ke Ipoh, sementara motosikal berkenaan dipercayai datang dari arah bertentangan.


"Kereta berkenaan hilang kawalan dan berpusing masuk ke laluan motosikal berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, penunggang motosikal disahkan maut di tempat kejadian manakala pemandu Perodua Alza pula dibawa ke Hospital Kampar untuk menerima rawatan lanjut.


Katanya, punca kemalangan masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian mangsa akan dijalankan pada jam 3 petang hari ini di Jabatan Forensik Hospital Kampar, "katanya.

@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE