Pegawai imigresen ditahan kes sindiket seludup migran


Pegawai imigresen ditahan kes sindiket seludup migran

"Pegawai imigresen yang bersubahat pula akan menurunkan cop ke atas passport tanpa merekodkan perjalanan warga asing terbabit ke dalam sistem MyImms," katanya

SEPANG - Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia dipercayai bersubahat dengan sindiket penyeludupan migran ditahan dalam satu operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini pada Selasa.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, seramai enam lelaki warga India turut ditahan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Imigresen Malaysia dalam operasi sekitar jam 7.45 itu.

"Warganegara India berkenaan berusia antara 20 hingga 42 tahun cuba memasuki negara untuk bekerja tanpa pas yang sah serta mengelakkan bayaran levi.

"Pegawai imigresen yang bersubahat pula akan menurunkan cop ke atas passport tanpa merekodkan perjalanan warga asing terbabit ke dalam sistem MyImms," katanya dalam kenyataan pada Rabu

Khairul Dzaimee berkata, hasil risikan mendapati, modus operandi sindiket adalah menawarkan e-Visa palsu kepada warga asing berkenaan untuk masuk ke dalam negara sebagai pelancong.

"Sindiket akan menyediakan kemudahan tempat tinggal, program lawatan dan sejumlah wang bagi menunjukkan seolah-olah mereka adalah pelancong tulen

"Berdasarkan maklumat risikan, sindiket ini dipercayai mengenakan bayaran antara RM5,000 hingga RM6,000 kepada setiap pelawat," jelasnya.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, sindiket berkenaan aktif melakukan kegiatan itu sejak pembukaan semula sempadan negara pada 1 April lalu.

Beliau berkata, kesemua warga asing berkenaan ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 kerana cuba memasuki Malaysia secara tidak sah.

"Pegawai imigresen berkenaan pula akan disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), setelah perintah reman diperolehi.

"Jabatan ini tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak walaupun ia melibatkan pegawai imigresen sendiri," tegasnya.


@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE