PRU15: Tiada parti politik peroleh majoriti- SPR


PRU15: Tiada parti politik peroleh majoriti- SPR

PUTRAJAYA- Tiada mana-mana parti politik memperoleh majoriti 50 peratus daripada 219 kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk membentuk kerajaan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, sehingga jam 4.30 pagi Ahad, Pakatan Harapan (PH) memperoleh 76 kerusi Parlimen di seluruh negara.

"Perikatan Nasional (PN) memperoleh 51 kerusi, BN (30), Gabungan Parti Sarawak (GPS) (22), Pas (22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam), DAP (lima) dan Warisan (tiga)," katanya.

Menurut beliau, Muda dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) masing-masing memperoleh satu kerusi Parlimen manakala Bebas dua.

"Berdasarkan pilihan ini, tiada mana-mana parti memperolehi majoriti 50 peratus daripada kerusi yang dipertandingkan," katanya pada sidang akhbar pengumuman keputusan PRU15 secara berkala, di Menara SPR.

Jelas Abdul Ghani, terdapat tiga pilihan raya tidak dapat diumumkan iaitu Padang Serai kerana kematian calon dan masalah cuaca di Baram, Sarawak serta Kota Marudu.

"Peratusan bagi pengundian kerusi Parlimen adalah 73.89 peratus tanpa mengambil kira tiga kerusi yang tidak diumumkan," katanya.

Beliau berkata, situasi sama berlaku di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang dan Perak yang tidak mempunyai majoriti.

"Di Pahang terdapat 41 kerusi DUN yang mana PN memenangi 17 daripadanya, diikuti BN (16) dan lapan kerusi oleh PH," katanya.

Abdul Ghani berkata, satu bahagian DUN tidak dapat dipertandingkan iaitu Tioman berikutan kematian calon yang bertanding.

"Peratusan pengundian di DUN Pahang adalah 70.48 peratus," katanya.

Sementara itu, bagi DUN Perak yang mempunyai 59 kerusi, PN mendahului dengan 26 kerusi disusuli PH (24) dan BN (sembilan).

"Peratusan pengundian di Perak adalah sebanyak 66.71," katanya.

Dengan pengumuman itu, Perlis secara rasmi menjadi satu-satunya negeri yang mempunyai majoriti untuk PN membentuk sebuah kerajaan.

PN menoktahkan penguasaan BN di Perlis dengan menang bergaya apabila memperoleh 14 daripada 15 kerusi DUN.

@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE