Rugi bayar sebulan, sekolah tujuh hari

Rugi bayar sebulan, sekolah tujuh hari

"Rata-rata pengusaha van atau bas sekolah tidak mahu menerima bayaran separuh atau harian yang dianggap akan merugikan mereka."

PETALING JAYA – Kegembiraan untuk menantikan cuti panjang yang bakal bermula tidak lama lagi sedikit terganggu apabila ibu bapa masih perlu menjelaskan bayaran penuh bas sekolah walaupun sesi persekolahan hanya berlangsung kira-kira seminggu pada bulan ini.

Menurut ibu bapa, situasi tersebut dirasakan tidak adil le­bih-lebih lagi apabila ada dalam kalangan mereka yang diminta membuat pembayaran penuh sebelum 3 Disember.

Difahamkan, purata yuran bas sekolah yang dikenakan oleh pengusaha pengangkutan adalah antara RM100 hingga RM200 bagi seorang pelajar bergantung kepada jarak rumah dan sekolah.

Rata-rata pengusaha van atau bas sekolah tidak mahu menerima bayaran separuh atau harian yang dianggap akan merugikan mereka.

Seorang ibu dikenali Fara Khairi, 41, berkata, mereka terpaksa membayar yuran van sekolah penuh pada bulan ini berjumlah RM130 walaupun anaknya hanya bersekolah selama seminggu.

“Sebelum ini pernah minta pengurangan sebab anak sekolah beberapa hari sahaja, tetapi pemandu akan tanya sama ada nak teruskan servis dia atau tidak.

“Saya dan suami masing-ma­sing bekerja. Kalau tidak sibuk boleh lari kejap untuk ambil anak, tetapi akan mengganggu waktu makan tengah hari dan rehat,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Fara yang bekerja sebagai pentadbir berkata, perkara itu (bayaran penuh) sudah beberapa kali berlaku termasuklah ketika sesi persekolahan tidak berlangsung.

Jelasnya lagi, semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, mereka telah membayar yuran van sekolah pada harga penuh, sehinggalah kerajaan mengumumkan pengusaha bas tidak perlu lagi mengutip bayaran daripada ibu bapa.

Situasi sama turut dialami Margaret, 31, apabila dia terpaksa membuat bayaran penuh bagi van sekolah dua orang anaknya yang bersekolah rendah pada bulan ini.

Katanya, dia pernah berbincang untuk meminta bayaran separuh, namun pengusaha van sekolah tetap berkeras inginkan bayaran penuh.

“Yuran yang dikenakan adalah RM100 untuk seorang, jadi jumlah yang saya perlu bayar adalah RM200 bagi dua orang anak.

“Pernah saya meminta untuk bayaran separuh, tetapi mereka beri alasan semua ibu bapa juga bayar penuh.

“Saya tiada pilihan kerana van sekolah tidak banyak, dan jarak dari rumah ke sekolah saya pun agak jauh,” katanya.

Di George Town, Pulau Pinang, ibu bapa di negeri ini turut berdepan dilema apabila mereka diminta menjelaskan bayaran penuh bagi perkhidmatan van atau bas sekolah pada akhir tahun meskipun pelajar hanya bersekolah selama seminggu.

Seorang waris pelajar, Aina Mardiah Ahmad, 39, berkata, dia mula tertekan apabila memikirkan tindakan pengusaha van sekolah terbabit yang dikatakan sering mengulangi pesanan untuk menjelaskan pembayaran pada setiap hari sejak 15 November lalu.

“Pengusaha van minta kami buat bayaran penuh pada bulan Disember diikuti Januari dan Februari tahun depan sehinggalah bulan seterusnya.

“Sudahlah kena bayar penuh RM260 untuk jarak lima kilo­meter dari rumah ke sekolah, dia (pengusaha) pula memberi alasan perlu membayar gaji kepada pemandu van (untuk Disember) termasuk kos menyelenggara kenderaan tersebut,” katanya.

Di Shah Alam, Selangor, rata-rata ibu bapa berpandangan pembayaran penuh kepada pe­ngusaha bas adalah tidak wajar kerana mereka hanya menyediakan perkhidmatan untuk tujuh hari persekolahan.

Seorang suri rumah, Wahidah Ahmad, 35, berkata, dalam keadaan kos sara hidup semakin tinggi, amat perlu untuk mereka berjimat termasuk dalam soal bayaran yuran bas sekolah.

“Saya ada tiga anak berusia 7 hingga 11 tahun dengan kese­luruhan bayaran RM90 untuk perkhid­matan bas sekolah.

“Kalau bayar penuh tetapi untuk tujuh hari persekolahan sahaja memang rasa tidak berbaloi,” katanya.

Abdul Izzat Wafi, 36, pula, berpandangan bahawa perlu ada situasi menang-menang antara pengusaha bas dan ibu bapa kerana masing-masing terkesan dengan kos sara hidup.

“Kita harap ada rasa simpati di kalangan pengusaha bas yang dapat sama-sama membantu kestabilan ekonomi keluarga,” ujarnya.

@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE