Rakyat jangan terlalu manja... Pengeluaran tambahan KWSP hanya burukkan keadaan - PM


Pengeluaran tambahan KWSP hanya burukkan keadaan - PM

"Rakyat disaran supaya tidak terlalu bergantung kepada pengeluaran KWSP, sebaliknya tingkatkan usaha untuk menjana pendapatan..."

Kuala Lumpur: Sebanyak 71 peratus atau lebih dua pertiga ahli yang aktif mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia 55 tahun dan ke bawah, berada dalam situasi serius di mana jumlah dana mereka tidak mencukupi untuk bersara melebihi paras kemiskinan. ...

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata KWSP turut menganggarkan pencarum perlu bekerja antara empat hingga enam tahun tambahan untuk membina semula simpanan yang sudah dikeluarkan melalui empat pengeluaran khas semasa pandemik.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sebarang pengeluaran tambahan baharu sama ada secara bersasar ataupun terbuka akan memburukkan lagi isu ketidakcukupan simpanan persaraan yang kini sudah pun berada dalam tahap yang amat membimbangkan.

Malah, katanya pengeluaran tambahan baharu KWSP boleh menyebabkan kekangan penyertaan ke dalam peluang pelaburan baharu dan akan memberikan kesan secara langsung dari segi kehilangan potensi pulangan jangka masa panjang yang turut menjejaskan peluang bagi menjana pendapatan untuk tujuan pembayaran dividen kepada ahli pada masa hadapan.

"Empat pengeluaran khas ini menyebabkan penurunan yang ketara dalam peratusan ahli aktif yang mencapai Simpanan Asas iaitu RM240,000 pada usia 55 tahun daripada 36 peratus pada 2020 kepada 29 peratus pada akhir tahun lalu.

"Sehingga 31 Disember lalu, seramai 6.7 juta ahli atau 51 peratus daripada keseluruhan ahli KWSP di bawah umur 55 tahun hanya mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000 di dalam akaun selepas pengeluaran berkenaan.

"Jumlah ini menyebabkan ahli memperoleh pendapatan persaraan yang kurang daripada RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun," katanya melalui jawapan bertulis, di Dewan Rakyat, di sini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Amirudin Shari (PH - Gombak) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan pendirian kerajaan terhadap pengeluaran wang KWSP sebagai langkah bantuan kewangan.

Sebelum ini, KWSP melaksanakan empat kemudahan pengeluaran berkaitan Covid-19 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas bagi membantu kelangsungan hidup ahli dalam menempuhi cabaran dan impak akibat pandemik Covid-19.

Kemudahan pengeluaran yang terbuka kepada ahli di bawah umur 55 tahun ini memanfaatkan seramai 8.1 juta ahli atau 62 peratus daripada 13.1 juta ahli yang layak.

Pada masa sama, Anwar berkata, mereka membuat sekurang-kurangnya satu pengeluaran daripada empat kemudahan pengeluaran yang disediakan membabitkan jumlah pengeluaran keseluruhan bernilai RM145 bilion.

Beliau berkata, isu ketidakcukupan simpanan KWSP perlu diberi perhatian yang serius ketika negara kini sedang menginjak ke arah status negara tua kerana ia bakal memberi impak yang amat besar kepada negara dan rakyat, terutamanya dari segi ekonomi, produktiviti, kesejahteraan sosial, kualiti hidup dan kesihatan.

"Selain itu, pengeluaran tambahan baharu memerlukan KWSP untuk menyediakan aliran tunai bagi menampung jumlah pengeluaran yang besar itu.

"KWSP perlu mengambil langkah pengimbangan portfolio dengan mengambil kira pegangan tunai semasa, kecairan dan kematangan pegangan instrumen berpendapatan tetap selain memperlahankan aktiviti pelaburan domestik.

"Ia menyebabkan kekangan bagi penyertaan ke dalam peluang pelaburan baharu dan akan memberikan kesan secara langsung dari segi kehilangan potensi pulangan jangka masa panjang yang turut menjejaskan peluang bagi menjana pendapatan untuk tujuan pembayaran dividen kepada ahli pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan berpandangan bahawa pengeluaran simpanan KWSP, sama ada secara terbuka atau bersasar bukanlah penyelesaian jangka panjang kepada beban kewangan ahli yang semakin meningkat.

Sebaliknya, Anwar berkata, sistem perlindungan sosial perlu diperkukuhkan bagi memastikan rakyat Malaysia mempunyai perlindungan apabila berlaku perkara yang tidak dijangka seperti kehilangan pekerjaan dan pendapatan.

Ikuti channel telegram Liputan 7 untuk update berita semasa dalam dan luar negara!



@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE