Tun M saman Zahid Hamidi, kes penghinaan mamak 'kutty'



Tun M saman Zahid Hamidi, kes penghinaan mamak 'kutty'

"Kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau bukan dilahirkan sebagai seorang Melayu atau Islam dengan nama asal yang didakwa sebagai ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ dan menggunakan orang Melayu semasa menjadi Perdana Menteri untuk mendapatkan keuntungan politik dan peribadinya selain memperkecilkan rakyat Malaysia berketurunan India Muslim."

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menetapkan 11 September depan untuk perbicaraan kes saman yang difailkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung isu... 'kutty'.

Hakim, Datuk Rozana Ali Yusoff menetapkan empat hari sehingga 14 September untuk prosiding itu selain menetapkan tarikh akhir bagi pengurusan kes pada 14 Julai depan.

Ketika dihubungi media selepas pengurusan kes yang berlangsung melalui sidang video, peguam, Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Dr Mahathir berkata, pihaknya akan mengemukakan seramai dua saksi iaitu bekas Ahli Parlimen Langkawi itu dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz pada perbicaraan kes itu.

Prosiding ini turut disertai peguam, Mohd Shahril Madisa, yang mewakili Timbalan Perdana Menteri berkenaan.

Pada 20 Julai tahun lalu, Tun Dr Mahathir, 97, selaku plaintif memfailkan saman dengan menamakan Ahmad Zahid, 70, sebagai defendan tunggal.

Dr Mahathir yang juga bekas Pengerusi Bersatu dalam pernyataan tuntutannya mendakwa, Ahmad Zahid telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Kenyataan itu diterbitkan semula di YouTube Astro Awani dan beberapa portal berita dalam talian, yang boleh diakses oleh pengguna Internet tanpa sebarang sekatan.

Dakwanya, kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau bukan dilahirkan sebagai seorang Melayu atau Islam dengan nama asal yang didakwa sebagai ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ dan menggunakan orang Melayu semasa menjadi Perdana Menteri untuk mendapatkan keuntungan politik dan peribadinya selain memperkecilkan rakyat Malaysia berketurunan India Muslim.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 17 Ogos tahun sama, menafikan kenyataan yang dibuat pada 30 Julai 2017 adalah berniat jahat untuk memfitnah dan merendahkan reputasi plaintif di khalayak umum.

Dakwa Presiden UMNO itu, nama itu merujuk kepada seorang individu berdasarkan maklumat dalam salinan kad pengenalan yang lama selain mendakwa beliau juga tidak mempunyai kawalan ke atas sebarang penerbitan video berhubung kenyataannya di platform media.



@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE