Muhyiddin mungkin berdepan 6 pertuduhan salah guna kuasa, Anwar tidak campur tangan urusan SPRM

Muhyiddin mungkin berdepan 6 pertuduhan salah guna kuasa, Anwar tidak campur tangan urusan SPRM

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dipercayai akan berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua kes pengubahan wang haram (AMLA) di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.

Bagi kes salah guna kuasa, pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, sementara AMLA bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA).

Sumber ketika dihubungi pemberita mengesahkan perkara berkenaan.

Selepas Datuk Seri Najib Tun Razak, Muhyiddin akan menjadi bekas Perdana Menteri kedua dituduh atas pertuduhan mengikut peruntukan sesyen sama di mahkamah.

Pada tengah hari Khamis, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa Muhyiddin akan didakwa esok.

Azam berkata, ketika ini bekas Perdana Menteri berkenaan masih lagi sedang diambil keterangan selepas tiba di Ibu Pejabat SPRM di sini pada jam 11.15 pagi tadi.

Anwar tidak campur tangan urusan SPRM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak campur tangan dalam urusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, tindakan SPRM memanggil Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu pada Khamis untuk siasatan adalah di bawah bidang kuasa agensi berkenaan walaupun semua agensi termasuk Pejabat Peguam Negara telah diarahkan untuk melihat kepada semua kes yang berkaitaan rasuah.

"Tengok kes, apa pendakwaannya, apa pertuduhannya belum tahu apa keputusan. Setakat ini hanya dia (Muhyiddin) dipanggil tetapi untuk mengatakan semua kes yang kita ambil (tindakan) itu ada motif politik itu maknanya tak bolehlah tangkap, maknanya kes rasuah lain yang besar-besar semua lepas.

"Sebab itu saya kata kena lihat dulu ada kes ke tidak. Ini urusan SPRM sampai sekarang saya tidak tahu apa akhirnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Taman Kuala Lumpur 2023 di Taman Tasik Titiwangsa di sini pada Khamis.

Anwar juga menegaskan semua kes harus dilihat satu persatu untuk melihat sama ada wujud pendakwaan politik seperti yang didakwa segelintir pihak atau berdasarkan fakta dalam memastikan negara ini bersih daripada amalan rasuah.

Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan pendakwaan kes SPRM melibatkan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) dan projek tebatan banjir adalah berdasarkan dokumen Kementerian Kewangan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan sesetengah pihak yang menyifatkan tindakan SPRM memanggil Muhyiddin bermotifkan politik.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu tiba di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya 11.15 pagi ini.

SPRM pada bulan lepas telah membekukan akaun Bersatu selain beberapa individu telah didakwa di mahkamah berkaitan projek program Jana Wibawa.

Sementara itu, mengenai isu surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung usul tambahan UMNO agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan tahun ini, Anwar yang juga Presiden PKR berkata peruntukan undang-undang memberi kuasa kepada RoS untuk mengemukakan sesuatu perkara kepada menteri berkaitan.

Ditanya sama ada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah mengatasi keputusan RoS, Anwar berkata, "di Jabatan Perdana Menteri, adakalanya saya override (mengatasi) keputusan umpamanya dahulu pegawai diarah untuk memberi kontrak secara rundingan terus, saya mengatasi (keputusan itu) kerana saya fikir lebih baik kita gunakan proses tender supaya lebih telus."

Semalam, Saifuddin berkata, keputusan memberi pengecualian kepada UMNO mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) berhubung pemilihan parti itu adalah terpakai.

KDN memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta 832, berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan parti itu tahun ini.

Pengecualian itu diberi mengikut Seksyen 70 akta berkenaan yang memperuntukkan menteri boleh menggunakan budi bicaranya untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan berdaftar daripada semua atau mana-mana peruntukan dalam Akta 832. - Bernama


@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE