Anwar nasihatkan rakyat supaya jangan jadi 'walaun', 'macai'



Anwar nasihatkan rakyat supaya jangan jadi 'walaun', 'macai' 


"Kerajaan Perpaduan bukan kerajaan yang zalim macam kerajaan sebelum ini" katanya



SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan tidak mempunyai masalah sekiranya golongan mahasiswa ingin menyuarakan pendapat dan bantahan, namun harus ada hadnya.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mereka harus menghormati sistem dan bukannya menjadi ‘macai’ dan ‘walaun’ yang menghentam kerajaan tanpa fakta.



Menurutnya, kerajaan tidak mahu mengongkong mahasiswa, namun mereka harus ditegur jika dirasakan keterlaluan dalam menyuarakan pendapat.


“Kalau nak bantah, saya tak ada masalah. (Memang) ada kalanya kita bersetuju (pendapat), kadang-kadang kita rasa ada yang tak betul. Tapi, kita didik anak-anak (mahasiswa) sebagaimana anak kita.



“Kalau kita rasa mereka agak keterlaluan, kita tegur. Begitu juga kebebasan akademik, kita tak mahu kongkong cuma ada peraturan dia. Janganlah kita bawa fahaman perkauman, nak ‘berperang’ dengan kaum lain dan bawa fahaman Islam yang terlalu jumud.


“Kalau orang tak setuju dengan parti saya, dia masuk neraka. Islam apa macam itu? Ini tidak akan diizinkan. Itu yang pertama sekali, tapi, apakah perlu buat bantahan atau demonstrasi? Kalau nak cakap, cakaplah di sini (dialog)," katanya.


Beliau berkata demikian pada Sesi Dialog Bersama Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Se-Malaysia di sini, pada Jumaat.


Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mohamed Khaled Nordin; Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose dan Naib Canselor UiTM, Professor Datuk Dr Hajah Roziah Mohd Janor.


Beliau berkata, keadaan kini sudah berubah dan mahasiswa perlu berfikir secara kreatif.


“Keadaan sekarang sudah berubah. Jadi, tak semestinya kita gunakan kaedah yang sama sebagaimana tahun 1960-an dan 1970-an.


"Mahasiswa kena berfikir secara kreatif. Jangan jadi macai (pentaksub), jangan jadi walaun (label yang diberikan kepada penyokong atau pentaksub parti) yang kata semua (dakwaan) betul walau ada kalanya tak masuk akal,” katanya.


Jelas Anwar, sebagaimana kebebasan di Parlimen, beliau bersedia mendengar sebarang bantahan namun tidak akan bersetuju jika ada dakwaan yang tidak benar.


“Kalau kata kerajaan sekarang zalim, tak kan kita kena setuju? Sebab apa zalim? Sebab anak tirikan negeri pembangkang dan mengurangkan dana?


“Saya berpegang pada fakta ini, iaitu semua negeri termasuk Terengganu, Kelantan, Perlis dan Kedah, kita tambah peruntukan. Yang dengar dakwaan walaun ini, akan kata kerajaan zalim. Bila beri fakta ini, dia senyap sekejap.


“Ini bukan lagi tradisi ilmu dan akliah yang diunjuran dalam Islam, iaitu pengetahuan berdasarkan kebenaran dan fakta. Sebab itu kita menganjurkan perbincangan, dialog supaya mereka memperoleh fakta,” katanya.



@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE