Anwar pemimpin yang adil, Impak terhadap sokongan kepimpinan Anwar sangat hebat - Penganalisis

Anwar pemimpin yang adil, Impak terhadap sokongan kepimpinan Anwar sangat hebat - Penganalisis

SHAH ALAM - Penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani di enam negeri melibatkan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berupaya mempengaruhi sokongan rakyat pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan, menerusi rumah terbuka yang diadakan, Anwar berpeluang berjumpa dengan pimpinan negeri yang terdiri daripada pelbagai latar belakang politik bagi memperbaiki struktur pembangunan di peringkat tersebut.


Menurutnya, perkara itu secara tidak langsung mencerminkan kesungguhan Anwar berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira perbezaan ideologi kepartian.

“Setiap negeri di Malaysia sebenarnya mempunyai potensi pelbagai aspek. Menerusi pertemuan semasa majlis tersebut, kerajaan boleh memperhalusi beberapa cadangan pembangunan daripada kerajaan negeri yang boleh menjadi pemangkin kepada kemajuan negara.

“Mungkin kerajaan tidak berupaya membantu secara penuh dari segi kewangan memandangkan hutang nasional tinggi. Tetapi mereka boleh bantu dengan cara lain seperti menjadi pemudah cara atau memberi sokongan.

“Contohnya di Kedah, antara yang kita dapat lihat pembangunan di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) dan usaha pembinaan Lapangan Terbang Kulim

“Kerajaan boleh tengok apa mereka boleh bantu.

"Mungkin tak dapat tolong 100 peratus tapi dukungan dapat diberikan sebab peringkat negeri pun kadang-kadang sudah ada jalinan dengan syarikat swasta untuk jayakan projek,” katanya

Mohammad Tawfik berkata, perkara sama dapat dilihat di negeri Pantai Timur seperti Terengganu dan Kelantan yang mempunyai kelebihan dari sisi lain seperti pelancongan.

“Kawasan pantai timur sentiasa menjadi tumpuan orang ramai terutama warga kota bagi bercuti memandangkan terdapat banyak pantai dan pulau yang menarik. Di sini, kerajaan boleh bantu naik taraf industri tersebut.

“Mungkin kedua-dua negeri ini tak dapat tandingi kawasan Lembah Klang dari segi memberi impak pembangunan. Bagaimanapun, negeri Pantai Timur mampu untuk berfungsi menjadi tabungan keuntungan kepada negara,” katanya.

Justeru, beliau yakin sekiranya perkara itu direalisasikan dalam rumah terbuka tersebut, reputasi Anwar kekal terjaga di samping akan memperluas persepsi rakyat terhadapnya.

Rumah Terbuka Malaysia Madani bagaimanapun perlu bebas daripada sebarang anasir politik kepartian bagi mengelakkan rasa kurang senang daripada kalangan orang ramai terutama penyokong pembangkang.

“Buat sahaja seperti biasa dan jangan ada sebarang elemen politik kepartian kerana ia adalah acara kerajaan dan bukan parti,” ulasnya.






@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE