Artikel Penuh : Buruh binaan didakwa rogol penjawat awam berdepan hukuman penjara 30 tahun dan sebatan

Buruh binaan didakwa rogol penjawat awam berdepan hukuman penjara 30 tahun dan sebatan



IPOH - Seorang buruh binaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas tiga pertuduhan merogol dan menceroboh rumah seorang wanita, minggu lalu.

Tertuduh, Hassan Ahmad, 43, membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.


Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang juga seorang duda didakwa telah melakukan rogol terhadap mangsa yang berusia 38 tahun dan pada masa itu meletakkan mangsa dalam ketakutan kematian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tingkat dua kuarters kakitangan awam, Jalan Kamarudin Isa, Fair Park di sini antara jam 10 malam, 17 April lalu hingga 1.47 pagi, 18 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut didakwa telah melakukan rogol terhadap mangsa di lokasi sama antara jam 5.30 pagi hingga 6.30 pagi, 18 April lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara yang boleh sampai 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Bapa kepada seorang anak itu juga didakwa telah menceroboh masuk rumah mangsa yang juga penjawat awam antara jam 10 malam, 17 April sehingga 9 pagi, 18 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan tertuduh tidak mempunyai alamat tetap selain mengetahui lokasi kediaman mangsa.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Mei depan untuk keputusan sementara menunggu fakta bagi kes berkenaan.

Sinar Harian melaporkan seorang wanita cedera di kaki akibat terjatuh dari rumahnya ketika menyelamatkan diri selepas diperkosa seorang penagih dalam kejadian di Fair Park.

Mangsa ditemukan orang awam dalam keadaan trauma dan menangis sebelum pasukan dari Balai Polis Sungai Senam memberi bantuan sekitar jam 9.15 pagi.






@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE