Berita Penuh - Anwar Ibrahim pemimpin yang adil, negeri yang ditadbir pembangkang tidak dianaktirikan

Anwar Ibrahim pemimpin yang adil, negeri yang ditadbir pembangkang tidak dianaktirikan

"Untuk Johor naik peruntukan, untuk Kedah naik peruntukan, Alhamdulillah... tapi ada yang pakai serban cakap Anwar ini telah menganak tiri (negeri pembangkang). Itu cakap fitnah. Jadi, saya harap saudara faham." katanya

ALOR SETAR - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyangkal dakwaan pihak tertentu bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau 'menganaktirikan' negeri-negeri yang ditadbir oleh pembangkang.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, kerajaan telah meningkatkan peruntukan kepada negeri terbabit termasuk Kedah, yang kini ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN).

"Untuk Johor naik peruntukan, untuk Kedah naik peruntukan, Alhamdulillah... tapi ada yang pakai serban cakap Anwar ini telah menganak tiri (negeri pembangkang). Itu cakap fitnah. Jadi, saya harap saudara faham.

"Saya tahu apa erti fitnah, saya tahu apa erti sakit bila dipukul, saya (tahu) erti menderita hidup dalam lokap... apa erti bila jadi Perdana Menteri saya zalim pada orang?" katanya ketika berucap pada program Himpunan MADANI Kedah 2023 di sini malam ini.

Anwar berkata, sebagai Perdana Menteri, beliau tidak mahu bermusuhan dengan sesiapa sebaliknya berhasrat membangunkan semula negara dengan rakyat yang mempertahankan integriti.

Beliau turut menyeru rakyat khususnya di Kedah agar menyokong Kerajaan Perpaduan yang membawa dasar yang mengangkat martabat rakyat dan negara.


"Takkanlah sebab buat majlis hari raya nak menang (atau) kalah pilihan raya... kerana beri makan hari raya, dapat undi, tidak. Saya tidak mahu saudara saudari sokong saya sebab itu," katanya.

Perdana Menteri juga berazam untuk membuktikan kepada negara dan dunia bahawa terdapat orang Melayu yang boleh memimpin negara ini dengan baik serta mampu membawa perubahan atas nama Islam.

"Saya nak tunjukkan bawah pimpinan Islam, kita boleh tadbir dengan baik dan tegakkan keadilan bagi semua rakyat negara kita dan saya harap anak muda di negara ini bawa juga perubahan ini, bukan dengan kebencian tetapi dengan kasih sayang," katanya.

Himpunan MADANI itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub. - Bernama





@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE