Dua anggota polis didakwa rompak wanita warga asing berdepan hukuman 20 tahun penjara

Dua anggota polis didakwa rompak wanita warga asing berdepan hukuman 20 tahun penjara


MELAKA - Dua anggota polis berpangkat Lans Koperal tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis, atas tuduhan melakukan rompak berkumpulan terhadap warga asing.

TS Praveen, 31, dan Muhammad Safri Idris, 31, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.


Berdasarkan pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama telah melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita warga Indonesia bernama Anisa dan mengambil barang kepunyaan mangsa.

Barangan tersebut adalah satu utas gelang tangan warna kuning, pasport keluaran Indonesia dan satu keping kad ATM Hong Leong Bank dengan kerugian lebih kurang RM1,800.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah hotel bajet di Plaza Mahkota di sini antara jam 10 malam hingga 11.30 malam, 3 April lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa secara bersama-sama tanpa kuasa yang sah ada dalam milikan mereka pasport atau dokumen perjalanan dalam negeri yang dikeluarkan bagi penggunaan seseorang iaitu milik Anisa, seorang warga Indonesia.

Perbuatan itu dilakukan di tepi Jalan Kota Melaka di sini pada waktu dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(1)(1) Akta Pasport 1966 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 setiap seorang dan tidak mengganggu mangsa yang merupakan saksi pendakwaan.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili Peguam Andrew Lourdes merayu jaminan rendah diberikan kerana anak guamnya merupakan anggota polis dan telah berkhidmat selama tujuh tahun.

Beliau juga memberitahu ayah Praveen, seorang pesara polis yang telah berkhidmat selama 41 tahun dalam pasukan beruniform itu, manakala isteri Safri juga anggota polis dan pasangan itu mempunyai seorang anak berusia tiga bulan.

Darmafikri kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 setiap orang berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 23 Mei depan sebagai sebutan semula kes





@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE