Lupus kenderaan berusia 10 tahun untuk selesaikan masalah kesesakan jalanraya tidak diterima rakyat

Lupus kenderaan berusia 10 tahun untuk selesaikan masalah kesesakan jalanraya tidak diterima rakyat

"Sebaliknya perkasakan pengunaan pengangkutan awam dilihat alternatif terbaik untuk mengatasi masalah tersebut"

SEKUMPULAN penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), menyarankan kenderaan yang berusia lebih 10 tahun dilupus dan tidak dibenar berada di atas jalan raya untuk menyelesaikan masalah kesakan lalu lintas di ibu kota.

Menteri Pengangkutan dalam reaksinya berkata, cadangan ini belum sesuai dilaksanakan di Malaysia. Ia memerlukan kajian terperinci kerana penyelesaian maalah kesesakan jalan raya memerlukan pendekatan holistik dan menyeluruh.

Sebenarnya penulis sendiri tertanya-tanya dan tercari-cari apa rasionalnya cadangan penyelidik UKM itu. Apa hubung kait kenderaan berusia lebih 10 tahun dengan kesesakan jalan raya?


Mungkin maksudnya ialah kereta tua menyebabkan kesesakan. Jika dilupus kenderaan otai ini, masalah kesesakan dapat dikurang. Tetapi realitinya benarkah semudah itu?

Pelbagai jenis kenderaan, tua dan muda, berada di atas jalan raya. Bagaimana dapat disimpulkan secara spesifik kenderaan berusia lebih 10 tahun menjadi punca utama kesesakan? Apa kayu ukur yang digunakan? Adakah sebab kenderaan pada usia sebegini selalu rosak atau bergerak perlahan?

Banyak kenderaan yang lebih muda usia pun selalu rosak. Perlahan atau laju pergerakan juga subjektif, bergantung kepada pemandu dan keadaan jalan. Ada pemandu tidak suka laju. Yang suka laju pula tidak boleh berbuat demikian jika jalan sesak. Jadi bukan faktor umur kenderaan.

Lagi pun kenderaan yang berusia 10 tahun belum terlalu tua. Kenapa hendak dilupuskan. Malah sebenarnya pada usia tersebut ia baru sahaja ‘merdeka’. Ini kerana ramai membeli kenderaan dengan bayaran ansuran sehingga sembilan tahun.

Jika mahu dilupus pada usia 10 tahun, bermakna hanya lepas setahun hutang bank selesai dan kenderaan sah menjadi milik sendiri, ia dibuang menjadi besi karat. Tentu sahaja ini membebankan. Belum tentu pemilik mampu membeli kenderaan baharu dan berhutang lagi dengan bank.

Kenderaan lama jika dijaga dengan baik dan diservis menurut waktu, mampu bertahan bukan sahaja sehingga 10 tahun, malah sehingga 20 tahun atau lebih. Untuk apa ia dilupus terlalu awal jika masih berfungsi dengan baik memberi khidmat bakti kepada pemilik.

Katakan kenderaan melebihi 10 tahun dilupus juga, tidak ada jaminan ia mampu menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas. Yang sudah melupus kenderaan, jika mampu akan membeli kenderaan baharu. Ertinya jumlah kenderaan tetap bertambah dan kesesakan berterusan.


Para penyelidik UKM harus memberi alternatif lebih praktikal menangani masalah kesesakan, bukan sekadar menghumban kereta tua. Harus difahami, pertambahan kenderaan di atas jalan terlalu pantas. Kerana itu masalah kesesakan memang sukar dielak. Yang boleh dilakukan ialah mengurangkannya.

Menurut rekod, sejuta kenderaan baharu didaftar setiap tahun sejak 2019. Tahun lalu 33.3 juta kenderaan didaftar di seluruh negara, dengan majoritinya iaitu 47.3 peratus adalah kereta, diikuti motorsikal 46.6 peratus. Lain-lain ialah bas, teksi dan sebagainya.

Perlu diingat, kenderaan baharu didaftar setiap hari. Dengan kadar pertumbuhan yang begitu cepat, sukar mengatasi masalah kesesakan secara tuntas. Namun usaha tetap perlu diteruskan untuk memastikan ia tidak sampai mencapai tahap yang tidak terkawal.

Namun usaha penyelesaian memerlukan pendekatan menyeluruh atau holistik. Tidak boleh ditebuk di sana sini menurut imaginasi, apatah lagi jika cadangan itu dilihat tidak mampu memberi penyelesaian.

Jika kenderaan baharu tidak wujud di jalan raya, mungkin sahaja masalah kesesakan dapat diatasi. Tetapi tentulah tidak boleh dihentikan jualan serta pendaftaran kenderaan baharu.

Satu cara yang dirasa berkesan ialah mendidik orang ramai tidak menggunakan kenderaan sendiri, sebaliknya menggunakan khidmat pengangkutan awam. Namun untuk mencapai matlamat ini sepenuhnya, pengangkutan awam mesti benar-benar efisen.

Pada masa ini pun ramai menggunakan khidmat bas, teksi, Transit Aliran Ringan (LRT), Mass Rapid Transit (MRT) dan monorail. Namun LRT, MRT dan monorail lebih diminati kerana laluan lancar tidak terganggu, berbanding bas atau teksi yang sering terjebak dalam kesesakan lalu lintas bersama kenderaan lain.

Kerana itu sistem pengangkutan awam mesti sentiasa diperkasa dan ditambah baik. Sistem yang efisen dengan sendirinya menarik orang ramai menggunakannya. Pada umumnya mereka pun lebih suka menaiki pengangkutan awam daripada membawa kenderaan sendiri.

Pembukaan Fasa 1 MRT Putrajaya 16 Jun lalu merupakan satu usaha positif memperkasa pengangkutan awam. Bermula dari stesen Kwasa Damansara hingga ke Kampung Batu, laluan ini merentasi 12 stesen pada jarak 17.5 kilometer.

Apabila Fasa 2 siap sepenuhnya dan beroperasi pada Januari 2023, ia akan menghubungkan stesen Kwasa Damansara dengan Putrajaya pada jarak 58 kilometer, melalui 36 stesen. Ini memudahkan orang ramai ke pusat pentadbiran persekutuan tanpa perlu berkenderaan sendiri.

Selain itu, langkah tertentu mesti diambil memastikan pergerakan bas tidak tersangkut jika mahu ia  menjadi pengangkutan awam yang berkesan. Satu cara ialah mewujudkan laluan khas bas, tidak dikongsi oleh kenderaan lain. Apabila bas bergerak lancar dan tepat pada waktu, nescaya lebih ramai menaikinya.

Justeru memperkasa pengangkutan awam dilihat alternatif berkesan mengatasi masalah kesesakan lalu lintas, di samping mempertingkat dan menambah baik jalan-jalan di ibu kota. Tidaklah perlu membuang kereta berusia 10 tahun kerana ia bukan penyelesaian terbaik.











@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE