DAP akan sokong UMNO, PN tiada harapan untuk menang

DAP akan sokong UMNO, PN tiada harapan untuk menang

"Sekarang kami duduk dalam Kerajaan Perpaduan, jadi semua parti politik kerajaan yang bertanding dalam PRN akan datang perlu menang untuk pastikan kestabilan kerajaan perpaduan"

KULAI - Ahli dan penyokong DAP diminta memberi sokongan dan undi kepada calon UMNO pada pilihan raya negeri (PRN) di enam buah negeri yang dijangka diadakan pada pertengahan tahun ini.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching berkata, ini kerana UMNO kini merupakan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan dan sokongan itu penting bagi memastikan kestabilan politik di peringkat pusat mahupun negeri.

"Ahli dan penyokong DAP perlu mengetepikan sebarang perbezaan yang mungkin wujud sebelum ini sebaliknya melihat kepada masa depan lebih baik.

"Sekarang kami duduk dalam Kerajaan Perpaduan, jadi semua parti politik kerajaan yang bertanding dalam PRN akan datang perlu menang untuk pastikan kestabilan kerajaan perpaduan.

"DAP sudah pasti mahu memenangi semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kami juga berharap rakan komponen seperti PKR (Parti Keadilan Rakyat), Amanah (Parti Amanah Negara) dan juga UMNO turut menang di kawasan mereka," katanya.

Nie Ching yang merupakan Naib Pengerusi DAP Johor berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Larian Amal IOI Putra di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, mandat rakyat adalah penting dan sekiranya semua parti politik dalam Kerajaan Perpaduan boleh menang besar, ini adalah satu tanda bahawa mereka yakin dengan kemampuan dan pencapaian kerajaan campuran itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, pihaknya akan terus menyantuni pengundi daripada pelbagai latar belakang seperti yang telah dilakukan sejak dahulu lagi.


"Kita tidak akan menyerahkan usaha menarik pengundi kepada pihak lain walaupun kita akui sokongan masyarakat Melayu terhadap DAP sedikit kurang, namun itu tidak halang kita dekati masyarakat Melayu.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital menyokong sepenuhnya agar media tempatan diberi kebebasan dalam membuat laporan berita sebagai satu kaedah semak dan imbang.

Nie Ching berkata, perkara itu antara yang hendak dicapai pihaknya menerusi usaha penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM).

Bagaimanapun ujar beliau, semua agensi media serta individu perseorangan perlu dipertanggungjawabkan atas pelaporan berita mereka agar tiada pertelingkahan timbul.

"Sebagai contoh, mungkin ada gambar kanak-kanak bawah umur dipaparkan, ataupun berita palsu atau 'bias', itu bukan responsible reporting jadi mereka perlu dipertanggungjawabkan.

"Cuma, sekiranya tindakan terhadap media diambil oleh kerajaan, itu akan menimbulkan persoalan adakah wujud motif di sebalik tindakan itu, jadi lebih baik satu badan bebas ditubuhkan demi kebaikan industri media tempatan," katanya






@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE