'Jangan PM sahaja lantang isu perangi rasuah'

'Jangan PM sahaja lantang isu perangi rasuah'

"Jadi apa yang kita mahukan adalah komitmen (perangi rasuah) itu bukan sahaja datang daripada PM tetapi kerajaan keseluruhannya, termasuklah agensi-agensi kerajaan," katanya 


Bagi menjayakan agenda memerangi rasuah di negara ini, komitmen bersama dituntut termasuk daripada barisan ahli kabinet dan pemimpin kanan negara.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Farhan Rosli berkata, apa yang dapat dilihat pada pemerintahan Kerajaan Madani ketika ini, hanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lantang bercakap berhubung isu rasuah, sebaliknya tidak berlaku kepada sebilangan pemimpin kerajaan yang lain.

"Kita tidak mahu hanya PM (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sahaja yang bercakap mengenai rasuah, beberapa minggu kebelakangan ini ada menteri kabinet sendiri terpalit kes rasuah.

"Jadi apa yang kita mahukan adalah komitmen (perangi rasuah) itu bukan sahaja datang daripada PM tetapi kerajaan keseluruhannya, termasuklah agensi-agensi kerajaan," katanya kepada Rasuah Busters pada Khamis.

Beliau ditemui sempena Majlis Sambutan Raya Aidilfitri bertempat di Pusat Kegiatan PKPIM.

Mengulas lanjut, Ahmad Farhan berkata, komitmen untuk memerangi rasuah perlu dipertingkatkan dan sikap kebersamaan dalam menolak isu rasuah ini juga perlu 'digemakan' lagi.

"Agenda memerangi rasuah ini tetap hidup di setiap zaman, melalui sikap kebersamaan dan program-program penerapan anti rasuah dan lain-lain," katanya.

Beliau berkata, bagi menjayakan agenda itu juga, PKPIM kini rancak mengatur program yang menyasarkan kesedaran terhadap anak muda berhubung isu berkenaan.

"PKPIM akan pergi ke setiap negeri, bertemu akar umbi menerusi zon-zon tertentu pada tahun ini.

"Untuk itu mulai tahun ini kita wujudkan sedikit kelainan bagi mendekati anak muda, menerusi program yang kita jalankan kita akan manfaatkan medium tik tok, tayangan video, 'busking', dalam penganjuran program selama dua hari satu malam yang mana matlamatnya adalah mengenai penolakan terhadap rasuah," katanya.

Menurutnya, program itu ditetapkan untuk diadakan di enam zon.

"Zon-zon berkenaan adalah di Sabah, Sarawak, Zon Timur, Tengah, Utara dan Selatan," katanya.





@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE