Lelaki OKU mengaku bersalah tembak polis, miliki senjata api dan dadah


Lelaki OKU mengaku bersalah tembak polis, miliki senjata api dan dadah

KOTA TINGGI – Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan melibatkan pelbagai kesalahan termasuklah memiliki senjata api, dadah dan melepaskan tembakan ke atas anggota polis.

Tertuduh, Muhamad Firdaus Paiman, 35, yang tidak mempunyai kaki kiri membuat pengakuan itu di Mahkamah Sesyen selepas empat pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memiliki pistol jenis Beretta Gardone VT dan selaras senapang patah buatan sendiri dengan menyalahi undang-undang dalam sebuah kereta di tepi Masjid Al Ikhwan Gugusan Adela pada kira-kira 1 pagi pada 10 Mei 2023.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki tiga butir peluru jenis Kartus 12 Bore dan empat butir peluru jenis 9mm tanpa lesen senjata pada tarikh dan waktu yang sama.

Pertuduhan ketiga, duda kepada dua orang anak itu didakwa memiliki selaras senapang angin buatan sendiri tanpa lesen senjata pada 10 Mei 2023 kira-kira 2.30 pagi di sebuah rumah dekat Felda Tunggal.

Pertuduhan keempat pula, lelaki berkenaan turut didakwa memiliki satu butir peluru jenis Kartus 12 Bore tanpa lesen senjata pada tarikh dan waktu yang sama.

Sazlina menetapkan 15 Jun ini bagi sebutan semula kes dan keputusan penghakiman sementara menunggu laporan kimia.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Kota Tinggi di sini Muhamad Firdaus mengaku bersalah atas tiga pertuduhan di hadapan Majistret Rashidah Baharom.

Pertuduhan pertama, dia didakwa telah melepaskan tembakan menggunakan senjata api dengan niat menyebabkan kecederaan terhadap Lans Koperal Mohd Shafiq Nazrin Razali bagi menghalang penangkapannya di bulatan Lotus Desaru Bandar Penawar, Pengerang kira-kira pukul 3.35 petang pada 7 Jun 2016.

Pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki dadah jenis Nimetazepam seberat 0.44 gram di tepi jalan Masjid Jamek Al Ikhwan Gugusan Felda Adela di sini kira-kira pukul 1 pagi pada 10 Mei lalu.

Pertuduhan ketiga, tertuduh turut didakwa memiliki dadah jenis Kanabis seberat 0.90 gram di lokasi dan masa yang sama dan boleh dihukum dibawah Seksyen 6 Akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Rashidah kemudian menetapkan 6 Julai untuk sebutan semula kes berkenaan dan memindahkan kes tersebut di Mahkamah Majistret Pengerang.

@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE