Penganggur bakar rumah, mengamuk bomba padam kebakaran


Penganggur bakar rumah, mengamuk bomba padam kebakaran

PETALING JAYA - Seorang penganggur diberkas kerana menghalang petugas penyelamat untuk masuk ke dalam rumah bagi memadam kebakaran di Seksyen 17 Damansara, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kebakaran itu pada jam 3.33 petang.


Menurutnya, sepasukan polis dan bomba telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Ketika petugas operasi hendak masuk ke dalam rumah terbabit, seorang lelaki yang bersenjatakan pisau telah menghalang anggota terbabit.

"Bagaimanapun, pihak berkuasa berjaya masuk ke dalam rumah, manakala bomba berjaya memadamkan kebakaran," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, suspek berusia 42 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan.

Katanya, suspek merupakan penganggur yang menyewa di bilik rumah terbabit.

"Tindakannya membakar langsir bilik tidur telah menyebabkan kebakaran. Dipercayai suspek dalam keadaan khayal akibat positif dadah," ujarnya.

Tambahnya, suspek yang didapati positif dadah hasil saringan air kencing itu telah direman empat hari sehingga Isnin depan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.







@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE