Penunggang motosikal maut rempuh lori belok mengejut


Penunggang motosikal maut rempuh lori belok mengejut

SUNGAI PETANI – Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggangi merempuh sebuah lori yang membelok secara mengejut di Jalan Pinang Tunggal berdekatan Taman Kempas, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mohamad Mustaqim Md. Ariffin, 25, yang menunggang motosikal jenis Honda Dash maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal apabila sebuah lori jenis Hino yang datang dari arah bertentangan membelok ke kanan untuk memasuki sebuah kilang tanpa memberi isyarat.

“Mangsa tidak sempat mengelak kerana jarak terlalu dekat sebelum merempuh bahagian kiri belakang lori menyebabkan mangsa melambung dan terhempas ke atas jalan,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, pemandu lori yang berasal dari Butterworth, Pulau Pinang tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pemandu lori diarah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya.

@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE