Setiap banduan ada hak mohon pengampunan termasuk bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib - Anwar Ibrahim

Setiap banduan ada hak mohon pengampunan termasuk bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib - Anwar Ibrahim



PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan setiap banduan termasuk bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhak membuat permohonan untuk mendapatkan pengampunan.

Jelasnya, permohonan yang dibuat itu seterusnya akan dipertimbang atas dasar ihsan tanpa sebarang prejudis.


"Seperti yang telah saya katakan, setiap pesalah atau banduan mempunyai hak untuk memfailkan permohonan bagi mendapatkan pengampunan.

"(Setiap permohonan seterusnya) akan dinilai oleh Lembaga Pengampunan secara profesional tanpa sebarang prejudis," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Pekerja 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pandangan berbeza diberikan pemimpin parti dalam kerajaan berhubung permohonan pengampunan Najib.

Pada Jumaat lalu, Parti Amanah Negara (Amanah) merayu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya permohonan pengampunan terhadap Najib ditolak.


Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berpandangan, pengampunan untuk Najib akan menghantar mesej yang sangat tidak baik kepada rakyat, sistem keadilan negara dan juga seluruh dunia berhubung sikap serta pendirian terhadap rasuah dan salah guna kuasa.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut menegaskan pengampunan Najib tidak dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang bersidang Jumaat lalu.

Pada 9 April lepas, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan parti itu sedang berusaha mencari tarikh bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan rayuan pengampunan terhadap Najib.

Sebelum ini, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memohon ihsan Seri Paduka Baginda untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada bekas presiden parti itu sebagaimana kuasa yang diperuntukkan mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.








@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE