Caj RM1 klinik kesihatan kerajaan tidak masuk akal


Caj RM1 klinik kesihatan kerajaan tidak masuk akal, naikkan kepada RM 5 hingga RM 20 supaya relevan dengan masa kini - Doktor


Kerajaan disaran menaikkan caj klinik kesihatan RM1 kepada RM5 hingga RM20 kerana caj sedia ada sudah tidak relevan dengan masa kini.


Yang Dipertua Persatuan Kesihatan Ikram Malaysia (Ikram Health), Dr. Mohd. Afiq Mohd. Nor berkata, fi sedia ada disifatkan tidak masuk akal terutama ketika nilai kos rawatan semakin meningkat.


“Pada masa akan datang klinik kesihatan dan Jabatan Perubatan Kecemasan boleh mengenakan caj RM5, malah klinik pakar boleh mengenakan caj RM15 hingga RM20.”


“Kenaikan caj ini adalah suatu keperluan kerana kos rawatan semakin tinggi yang akan membebankan Kerajaan untuk menampung sepenuhnya dan boleh menjejaskan perkembangan perkhidmatan, penambahbaikan fasiliti serta kemudahan dan kebajikan kakitangan,” ulasnya.


Sementara itu Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Malina Osman berkata sudah tiba masanya untuk Kerajaan meneliti semula kadar caj rawatan bersesuaian dengan faktor penting seperti pertambahan populasi rakyat dan kecanggihan teknologi.


“Kalau dilihat, sejak tahun 60-an atau 70-an, caj bayaran RM1 untuk setiap kali rawatan di semua fasiliti Kerajaan tidak berubah. Kalau dulu, tambang bas awam pun mungkin cuma 50 sen, sekarang harganya pun sudah tidak lagi sama.”


“Apa yang pasti, Kerajaan tidak lagi mampu menampung subsidi kos rawatan kesihatan rakyat. Kita perlu mengambil kira latar belakang kemampuan ekonomi Kerajaan dan keadaan ekonomi semasa. Saya sendiri pun tidak boleh petik berapa ‘angka ajaib’ untuk kadar bayaran minimum munasabah.”


Dr. Malina juga berharap Kerajaan dapat memastikan perkhidmatan rawatan yang disediakan berada pada tahap berkualiti termasuk memastikan kakitangan kompeten yang mencukupi.


Dalam pada itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Malaya (UM), Profesor Dr. Sanjay Rampal pula berkata, pihaknya menyokong usaha untuk menambah bajet dalam sistem perbelanjaan pembiayaan kesihatan negara.


Katanya, penambahan bajet kesihatan itu diharapkan dapat digunakan untuk kempen kesedaran kesihatan kepada masyarakat. Ini kerana kita tentunya mahu pengurangan jumlah pesakit yang datang mendapatkan rawatan terutama di hospital Kerajaan yang telah sesak.


@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE