Menteri ada pas VIP masuk kawasan larangan KLIA - Anthony

Menteri ada pas VIP masuk kawasan larangan KLIA - Anthony

"Menteri berkenaan sememangnya layak memasuki kawasan larangan di KLIA sekiranya ada tugasan rasmi." jelasnya

SEREMBAN - Jemaah Menteri mempunyai pas khas (VIP) untuk memasuki setiap ruang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, disebabkan itu tidak timbul isu apabila Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing masuk ke dewan ketibaan lapangan terbang berkenaan.


“Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah bagi laporan kepada saya semalam (Jumaat) dan semasa Yb Tiong berada di KLIA itu memang diiringi oleh polis bantuan dan anggota keselamatan MAHB.

"Dari segi isu pas keselamatan, itu tak jadi isu, sebenarnya setiap menteri ada pas VIP untuk masuk ke lapangan terbang walaupun kadangkala kita bukan mengambil penerbangan.

"Semalam (Jumaat) pun saya berada di lapangan terbang, bukan saya mengambil penerbangan, tetapi saya lancarkan satu penerbangan, jadi saya masuk ke kawasan larangan seperti balai berlepas dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Negeri DAP di Pejabat DAP Negeri Sembilan pada Sabtu.

Jelasnya, menteri berkenaan sememangnya layak memasuki kawasan larangan di KLIA sekiranya ada tugasan rasmi.

Bagaimanapun kata Anthony, beliau tidak pasti insiden sebenar yang berlaku kerana tidak berada di lokasi ketika kejadian selain tidak ada rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Lain-lain itu dari segi isu dengan Jabatan Imigresen (JIM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan buat siasatan lebih terperinci dan mungkin akan dibincangkan di peringkat Jemaah menteri nanti," katanya.

Sebelum ini media melaporkan seorang menteri didakwa menceroboh masuk ke balai ketibaan antarabangsa KLIA bagi membebaskan pelawat China yang ditahan pihak imigresen.

Kejadian itu turut tular di media sosial apabila menteri terbabit dikatakan masuk ke ruangan itu tanpa memohon pas keselamatan.

Perbuatannya dipercayai bagi 'menyelamatkan' seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukan ke negara ini sebaik tiba di lapangan terbang.

Bagaimanapun King Sing dalam kenyataan medianya pada Sabtu mengakui terbabit dalam insiden itu malah menyifatkan tindakannya bagi membongkar 'peristiwa' memalukan.

Beliau mendakwa wujudnya budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara.








@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE