Isteri terkejut suami ditemukan maut selepas keluar menoreh getah

Isteri terkejut suami ditemukan maut selepas keluar menoreh getah

LIPIS – Misteri kehilangan seorang pekebun getah sejak dua hari lali akhirnya terjawab apabila mayat mangsa ditemukan di tepi sebatang sungai di Pos Titom Ulu Jelai di sini hari ini.

Mayat mangsa Rahim Amat, 37, ditemukan penduduk yang melakukan pencarian di tepi sebatang sungai di sini.

Isteri mangsa Misah Anip, 43, berkata, dia sememangnya terkejut dengan kematian suaminya memandangkan mangsa tidak mempunyai sebarang penyakit.

Dia yang mempunyai sembilan anak berusia antara tiga bulan hingga 19 tahun berkata, selepas suaminya tidak pulang dia cuma bertanya beberapa orang jirannya kerana yakin suaminya akan pulang.

“Sehinggalah saya diberitahu mayat suami dijumpai oleh orang kampung yang keluar mencari setelah seorang penduduk terhidu bau busuk berdekatan sebatang anak sungai.

“Saya reda dengan kematiannya tetapi kehidupan selepas ini bertambah susah lebih-lebih lagi kerana perlu menggalas tanggungjawab menggantikan suaminya sebagai ketua keluarga mencari pendapatan untuk menyara anak yang masih kecil termasuk persekolahan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Misah, kelaziman suaminya keluar menoreh getah pada sebelah pagi dan pulang agak lewat kerana membuat pelbagai kerja seperti mencari sumber hutan.

Katanya sudah tiga bulan dia tidak dapat membantu suaminya ke kebun kerana masih berpantang baharu melahirkan anaknya yang kini berusia tiga bulan berbanding sebelum ini kerap bersama menoreh getah serta mencari hasil hutan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, polis menerima laporan mengenai penemuan mayat seorang lelaki Orang Asli di Sungai Gempik, Pos Titom pada pukul 6.30 petang semalam.

Katanya, mayat mangsa berjaya dibawa ke Hospital Lipis pada pukul 2 pagi sebelum menjalani proses bedah siasat.

@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE