Libas ibu, abang guna parang sebab larang jalin hubungan dengan kekasih

Libas ibu, abang guna parang sebab larang jalin hubungan dengan kekasih

AMPANG: Gara-gara tidak dibenarkan menjalinkan hubungan dengan kekasih, lelaki bertindak menyerang abang dan ibunya menggunakan parang dalam kejadian di Jalan 10 Pandan Jaya, di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek berusia 19 tahun ditahan selepas laporan dibuat oleh abangnya, 26, berhubung kejadian itu.

"Dalam kejadian jam 4.30 petang, 1 November lalu, mangsa yang juga peniaga diserang oleh suspek ketika berada di rumah menggunakan parang menyebabkannya cedera di bahagian kaki kiri.

"Suspek juga mengejar ibunya menggunakan parang sehingga wanita berkenaan terpaksa melarikan diri ke rumah jiran.


"Pengadu mengesyaki suspek menjadi tidak waras selepas menghisap vape," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azam berkata, susulan laporan itu, pihaknya menahan suspek yang juga penganggur di sekitar Pandan Jaya, di sini, jam 7 malam pada Rabu lalu.

"Dalam tangkapan itu, kami merampas parang berukuran 25 inci yang disyaki digunakan suspek.

"Siasatan awal dilakukan mendapati punca kejadian adalah kerana suspek tidak berpuas hati terhadap keluarganya yang melarang dia menjalinkan hubungan dengan teman wanitanya," katanya.

Beliau berkata, semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah dan dua rekod narkotik, manakala ujian air kecing didapati negatif dadah.

"Suspek direman selama empat hari bermula Khamis lalu hingga hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324/506 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mendatangkan kecederaan dengan sengaja dan ugutan jenayah.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terbabit dalam sebarang perbuatan mendatangkan kecederaan dengan sengaja dan melakukan ugutan jenayah," katanya.







@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE