Padah rempuh sekatan jalan raya, lelaki didenda RM1,700

Padah rempuh sekatan jalan raya, lelaki didenda RM1,700

BATU PAHAT – Seorang lelaki dikenakan denda sebanyak RM1,700 selepas mengaku salah atas pertuduhan menghalang penjawat awam dengan merempuh sekatan jalan raya ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret sini hari ini.

Tertuduh, Mohamad Bariq Kamsan, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nur Asidah A Rahman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menghalang Koperal Shaiful Ezeham Hamid daripada menjalankan tugas ketika mengadakan sekatan jalan raya di Batu 7, Jalan Besar Tongkang Pechah, di sini, pada pukul 10 malam, 18 Disember lalu.

Tertuduh yang bekerja kampung kemudian didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khalijah Khalid manakala tertuduh diwakili Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mengikut fakta kes, tertuduh berseorangan ketika itu memandu sebuah kereta, melalui sekatan jalan raya di Tongkang Pechah.

Sebaik tiba di lokasi, tertuduh tidak mengendahkan arahan pihak polis supaya berhenti sebelum bertindak memecut.

Anggota polis kemudian mengejarnya dengan mengeluarkan lima kali siren amaran namun dia tidak mengendahkannya, sehinggalah berjaya ditahan.

Terdahulu, pihak pembelaan memberitahu anak guamnya memilih untuk membayar denda dan memohon mahkamah agar menjatuhkan hukuman paling minimum.

Bagaimanapun, pendakwaan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berdasarkan kesalahan dilakukan tertuduh serta pengajaran kepada orang lain.

Mahkamah mengenakan hukuman denda RM1,700 ke atas tertuduh dan sekiranya gagal menjelaskan denda, tertuduh menjalani hukuman penjara tujuh bulan.





@liputan7official

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!


FREE PALESTINE